Thursday, May 05, 2016
Isu Rooney Anak Rebit : Cubaan Pembangkang ‘Bermain Api’ Di #PRNSarawak?
EDITOR MENULIS...
5 MEI 2016
Telah saya nyatakan sebelum ini bahawa semua pihak khususnya parti
politik bertanding di Pilihan Raya Sarawak supaya berhati-hati dalam
memilih isu ketika berkempen kali ini. Ia adalah kerana budaya politik
di Sarawak mahupun Sabah adalah agak berbeza dengan budaya politik di
semenanjung.
Namun begitu, seperti yang sedia maklum, pihak pembangkang sememangnya
suka berkempen dengan menggunakan isu-isu yang menyentuh perkara yang
menjadi senstiviti saudara kita di sana seperti perbedaan agama, kaum
dan cara hidup.
Kali ini, pihak pembangkang kecoh tentang kes Rooney Anak Rebit, seorang
lelaki Bidayuh yang kononnya ‘murtad’ dan mahu mengeluarkan perkataan
‘Islam’ dari kad pengenalannya. Seimbas baca laporan dari portal
pembangkang, mungkin ada di kalangan ‘pejuang Islam’ di semenanjung yang
‘panas’.
Mendengar perkataan ‘murtad’ saja mampu membuat ‘pejuang-pejuang’ itu
melatah. Jika boleh, mahu saja mereka terbang ke Sarawak walaupun fakta
isu yang mereka ketahui amat terhad, tidak tepat dan kabur. Maklumlah,
‘pejuang’lah katakan…
Mereka mungkin tidak sedar tentang minda mereka yang sedang
dimanipulasi. Mereka mungkin tidak sedar, mereka cuba diapi-apikan pihak
pembangkang untuk mencetus rasa benci terhadap kerajaan dengan
bersandarkan politik sempit yang cuba dikaitkan dengan isu agama yang
sebenarnya harmoni di Sarawak.
Hakikatnya, mereka mungkin tidak sedar bahawa faktanya Rooney dilahirkan
dalam Kristian, mengamalkan cara hidup agama itu sejak dari lahirnya
hingga kini, walaupun ibu bapanya telah memeluk Islam pada usianya 8
tahun.
Fakta berkenaan telah dihujahkan di mahkamah dan hakim berpuas hati
dengan fakta-fakta yang dikemukakan. Malah Jabatan Agama Islam Sarawak
pun sebenarnya telah mengesahkan fakta-fakta tersebut dan tiada bantahan
untuk Rooney mengeluarkan perkataan ‘Islam’ dari kad pengenalannya.
Jadi, adalah jelas bahawa sejak dari awal lagi sebenarnya tiada kes yang
membabitkan ‘murtad’ dalam isu Rooney Anak Rebit itu. Dia memang bukan
Islam dan hanya mahu pengeluarkan perkataan ‘Islam’ dari kad pengenalan,
serta permohonannya telah dibuat kepada JPN.
Jadi kepada ‘ustaz-ustaz segera’ dan ‘pejuang Islam’ di media sosial
khususnya di semenanjung, tidak perlulah melatah lebih-lebih. Soal
sensitif seperti ini jika tersilap langkah, mungkin buruk padahnya pada
keharmonian agama dan kaum di Sarawak yang belum tercemar seperti di
semenanjung ini.
Cuma saya memohoh kepada JPN supaya hormati keputusan mahkamah dan
Jabatan Agama Islam Sarawak berhubung kes Rooney itu. Moga diselesaikan
dengan cara bijaksana tanpa memberi ‘peluru’ kepada ‘pelawat-pelawat
politik pembangkang dari semenanjung’ untuk mencetus api kebencian
antara agama di sana.
Buatlah apa yang perlu mengikut lunas undang-undang dan peraturan
seperti yang ditetapkan Perlembagaan Persekutuan dan di dalam
senarai-senarai jadual yang memaktubkan hak rakyat di Sarawak dan Sabah.
Paling utama, jangan biarkan ada pihak yang mengambil kesempatan atas
sesuatu yang sebenarnya bukan isu dan mencemarkan keharmonian rakyat di
sana. Kami di semenanjung hormat pada hak rakyat Sarawak dan Sabah
menurut perlembagaan, serta janganlah cemarkan budaya politik di sana
seperti di semenanjung yang kian diracun manipulasi pembangkang.
Disediakan oleh :
Sdr Syamsul Amri Hj Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment