Thursday, May 05, 2016

Azmin Tunjuk Pandai, Rakyat Rugi RM800 Juta

Tindakan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali dan kerajaan negeri itu yang bertindak ‘tunjuk pandai’ dalam isu air di negeri Selangor akhirnya merugikan rakyat apabila terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sebanyak RM800 juta bagi projek pembinaan dua loji rawatan air (LRA) terbaru bagi mengatasi masalah air di negeri itu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata Azmin dan kerajaan negeri sepatutnya mendengar pandangan kerajaan Persekutuan melalui Barisan Nasional (BN) sebelum ini yang telah memandang lebih jauh daripada mereka berhubung masalah air di negeri itu.

BN dah melihat isu masalah air di Selangor 20 tahun ke hadapan. Tetapi kerajaan negeri Selangor barangkali mereka tunjuk pandai mereka tidak mahu bekerjasama dengan BN bagi projek Loji Rawatan Air Langat 2 (LRAL2).

“Ini jelas merugikan rakyat kerana sepatutnya LRLA2 sudah siap. Ini baru nak mula. Oleh kerana lambat siap kerajaan negeri terpaksa belanja RM800 juta untuk buat pembinaan dua loji rawatan air (LRA) baru pula sementara LRLA2 siap.

“Kalau kerajaan negeri tak tunjuk pandai rakyat tidak rugi RM800 juta,” kata Noh.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai mengadakan lawatan ke Sekolah Wawasan, Sekolah Kebangsaan Dato’ Onn di Subang Jaya pada Rabu.

Mengulas lebih lanjut isu air di Selangor, Noh berkata penolakan LRAL2 oleh kerajaan negeri Selangor sebelum ini merugikan rakyat apabila mereka mencadangkan alternatif iaitu Sistem Pembesaran Sungai Hibrid (HORAS) di Sungai Selangor untuk menampung bekalan air yang juga masih tidak siap sehingga hari ini.

“Mereka rancang perlaksanaan Horas yang konon nak sedut air daripada tasik dengan alasan Selangor banyak air seperti air lombong, air tasik dan menolak cadangan mengapa mesti bawa air daripada Pahang?

“Tetapi hari ini terbukti apa yang mereka rancang tidak menjadi kenyataan dan akhirnya mereka terpaksa akur bahawa perancangan BN jauh lebih baik daripada kerajaan negeri kurang pengalaman.

“HORAS pun banyak duit dikeluarkan tetapi tidak ada hasil,sebaliknya yang dapat untung kontraktor yang keluarkan pasir,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Penyelaras Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN Selangor Datuk Mat Nadzari Mat Dahlan menyifatkan pembinaan dua LRA dengan peruntukan RM800 juta itu sebagai satu pembaziran berikutan projek HORAS di Bestari Jaya yang dibina pada Mac 2014 masih tergendala.

Beliau berkata kerajaan negeri seharusnya tidak tergesa-gesa meluluskan pembinaan LRA di Jenderam Hilir, Semenyih dan Labohan Dagang, Kuala Langat itu sebaliknya menyiapkan dahulu projak HORAS yang sepatutnya beroperasi tahun lepas. 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment