Friday, May 06, 2016

Jika Guna Platform Sidang DUN Untuk Serang Rahman, Guan Eng Dianggap Pengecut

BALIK PULAU : Sudah lebih seminggu Datuk Rahman Dahlan mencabar Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng untuk menyaman dirinya tetapi hingga kini Guan Eng dilihat terus menyepikan diri.

Kini timbul persoalan adakah Guan Eng mahu menggunakan platform Dewan Undangan Negeri yang bakal bermula pada 10 Mei ini sebagai serangan balas terhadap Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Guan Eng VS Rahman Dahlan 
Jika benar Guan Eng menggunakan platform tersebut atas tiket imuniti beliau boleh berkata apa sahaja tanpa Rahman mampu membela diri, ianya disifatkan sebagai satu tindakan pengecut, ujar Anggota Dewan Undangan Negeri Pulau Betong, Muhamad Farid Saad.

“Kita tahu 10 Mei ini sidang DUN akan bermula… mungkin ini adalah senjata rahsia Guan Eng untuk menyerang balas terhadap Rahman. Namun saya berharap dia tidak akan menggunakan cara seorang pengecut untuk menyerang balas.

“Jika tidak, kredibiliti dirinya sebagai Ketua Menteri sudah pasti rosak teruk. Saya juga masih berharap dan menunggu untuk Guan Eng mengambil tindakan saman kerana saman dan Guan Eng memang sudah sebati.

“Cuma yang menjadi pelik kini apabila dia seperti enggan mengambil tindakan saman walaupun telah dipelawa oleh Rahman,” ujarnya kepada media.

Tambah Farid, sudah menjadi kebiasaan apabila Guan Eng mengambil tindakan saman sekiranya ada pihak yang cuba mempersoalkan segala tindak tanduk dirinya.

Jika tidak mengambil tindakan saman pun tambahnya lagi, Guan Eng akan membuat laporan polis namun apabila Rahman membangkitkan isu penyelewengan Taman Manggis dan rumah banglo, Guan Eng seperti terlalu berhati-hati untuk mengambil tindakan.

“Cara Guan Eng seperti ada yang dia takutkan. Adakah Guan Eng takut kesalahannnya akan lebih banyak terdedah ataupun dia merasakan dirinya kini sudah tidak mampu mengelak? Kini, ramai yang menanti untuk melihat Guan Eng yang terkenal dengan sikap ego untuk menyaman Rahman.

“Jika dia berada betul maka tidak ada apa yang perlu ditakutkan malah tindakan saman ini bakal memberi kelebihan kepada dirinya apabila disoal siasat oleh SPRM nanti,” ujarnya lagi.

Baru-baru ini Rahman Dahlan telah mencabar Guan Eng untuk memfailkan saman terhadap beliau atas dakwaan memfitnah kerana mendakwa dirinya sengaja tidak mahu meneruskan debat secara terbuka mengenai isu Taman Manggis.

Rahman Dahlan dalam kenyataannya berkata, sekiranya Guan Eng merasakan apa yang telah didedahkan oleh dirinya adalah satu pembohongan maka ambillah tindakan saman malah dirinya amat berbesar hati untuk berjumpa Guan Eng di mahkamah.

Kenyataan tersebut dikeluarkan apabila Guan Eng mendakwa Rahman Dahlan gagal sebagai seorang menteri selepas debat secara terbuka itu dibatalkan.

Kedua-dua pemimpin itu dijadualkan berdebat secara terbuka mengenai isu Taman Manggis tetapi dibatalkan atas nasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Ketua Polis Negara.

Debat itu dibatalkan kerana ia didakwa menyebabkan prejudis terhadap siasatan yang sedang dilakukan.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment