Sunday, May 15, 2016

Nasib PAS Di Sungai Besar-Kuala Kangsar Di Tangan Guan Eng-Mat Sabu…

Berbanding 10 pilihanraya kecil yang diadakan sejak pilihanraya umum ke 13 lalu ramai yang mengaku setakat ini agak sukar untuk menjadi tok nujum di Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Dulunya awal-awal lagi padang permainannya jelas – antara BN dengan Pakatan. Paling tidak adalah kot calon Bebas mencelah kacau daun sikit.

Kalau ikut lojiknya sepatutnya dua pilihanraya kecil serentak pada 18 Jun ini adalah medan tempur antara BN dan PAS.

Apa yang ada di depan mata sekarang keadaannya agak berbelit pada pihak yang nak lawan BN di Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Sekurang-kurangnya BN dapat menarik nafas lega.Fokus ia kini cuma tumpu nak cari siapa calon paling ‘winnable’ dan gerak kerja untuk menang.

Namun PAS masih belum dapat goyang kaki dalam bab itu selagi bekas rakannya PKR-DAP  yang kini bergabung dengan bekas orang-orangnya dalam Parti Amanah Negara (PAN)  dalam Pakatan Harapan memberi sebarang kepastian.

Dilihat sepintas lalu saja sudah terbentang di depan mata macam-macam cacamarba yang PAS terpaksa hadapi jika ia tidak mendapat ‘ restu’ dari Pakatan Harapan untuk berentap satu lawan satu dengan BN pada dua pilihanraya kecil ini.

Tolak sebelah PKR dan DAP cukup jelas PAN pimpinan Mat Sabu nampaknya terkinja-kinja nak letak calon.

Siapa pun tidak boleh menyalahkan PAN jika ia merasa amat perlu untuk berentap pengaruh dengan PAS menerusi pilihanraya kecil ini.

Permusuhan politik antara PAS dengan PAN memang ditahap gaban sejak tragedi bungkus berjemaah geng Mat Sabu masa pemilihan di Muktamar PAS yang lalu.

Kalau masuk faktor DAP situasinya tentulah lagi parah.

Geramnya DAP dari PAS yang didakwa bikin rosak Pakatan Rakyat dulu dapat dilihat menerusi kenyataan Setiausaha Agungnya Lim Guan Eng pada Jumaat.

Kata Ketua Menteri Pulau Pinang itu DAP akan hanya menyokong calon Pakatan Harapan pada pilihan raya kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar.

Tegasnya ini kerana PAS bukan sebahagian daripada Pakatan Harapan, maka ia bukan sekutunya dan oleh itu ia tidak akan menyokong parti itu.

Talian hayat PAS ada kini cuma menerusi PKR.Itupun hasil dari perkongsian kuasa PKR-DAP-PAS yang masih ada dalam kerajaan negeri Selangor.

Disebalik ini nyawa politik Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali di negeri itu bergantung pada PAS.

Jadi tidak perlu hairan jika Timbalan Presiden PKR itu awal-awal ambil langkah sendiri ajak PAS rujuk kembali untuk berkerjasama dengan Pakatan Harapan bagi menentang BN pada pilihanraya umum ke 13.

Juga tidak menghairankan beliau sudah pun mula ‘ pusing-pusing’ di Sungai Besar untuk bermesra dengan penduduk kawasan itu.

Langkah Azmin untuk hulur salam damai pada PAS tidak mendapat dokongan Pkatan Harapan.

Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Ismail bukan saja menjauhkan diri dari kenyataan Azmin yang dibuat sehari selepas pilihanraya negeri Sarawak malah kata ia bukan keputusan bersama pimpinan Pakatan Harapan.

Itu katanya adalah kenyataan Azmin sendiri.

Malah PAS sendiri pandang dingin pada langkah Azmin itu.

PAS kini berdepan dengan dua kemungkinan.Satu samada ia dapat tidak ‘restu’ dari Pakatan Harapan untuk berentap satu lawan satu dengan BN.

Dua..Pakatan Harapan letak calon menerusi PAN.

Kalau berdepan dengan situasi kedua dimana PAN juga masuk letak calon ia satu tragedi terbuka bagi PAS.

Dalam pada itu ada juga pemerhati yang menilai sekalipun misalnya PAS mendapat ‘restu’ dari Pakatan Harapan untuk lawan BN ia belum ada jaminan segalanya beres ‘ on the ground’.

Realitinya DAP dan PAN ada penyokong masing-masing baik di Sungai Besar dan Kuala Selangor.Siapa boleh tolak kemungkinan mereka ambil langkah ‘protes’ sendiri-sendiri masa buang undi nanti.

Mengikut pecahan kaum ada 31 pertus pengundi Cina dan 2 peratus India di Sungai Besar manakala di Kuala Kangsar 24 peratus Cina dan 7 peratus India.

Masa pilihanraya umum ke 13 lalu selain orang PAS ,kita boleh pukul borong penyokong pembangkang – DAP dan kini PAN di kedua-dua tempat pangkah PAS.

Sikit sebanyak senarionya pasti berbeza semasa pilihanraya kecil ini ekoran permusuhan sengit PAS dengan DAP dan PAN dan mungkin dengan sesetengah orang PKR.

Pilihanraya negeri Sarawak telah membuktikan bagaimana kesan situasi berserabut dalam kem pembangkang.

Kata orang politik tetap politik.Pengajaran di Sarawak belum tentu digunapakai sebagai sempadan di semenanjung.

Kini dalam keadaan apa pun nampaknya PAS sudah set untuk langgar tembok bertanding di Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Baik Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Pengarah Pilihanraya PAS Datuk Mustapa Ali tidak goyang dalam menegaskan pendirian itu.

PAS pusat juga telah mengeluarkan arahan pimpinannya ‘ gam mulut’ tidak caskap sangat pasal pilihanraya kecil itu.

Ia mungkin untuk mengelak mereka saling bergasak kenyataan dengan DAP atau PAN dan mungkin PKR menjelang hari penentuan.

Ketika itu semua orang sedang mengintai gerak langkah blok pembangkang ini.

Nampak macam nasib PAS di Sungai Besar dan Kuala Kangsar kini ada ditangan Guan Eng dan Mat Sabu. 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment