Friday, May 06, 2016
#PRNSarawak : Najib Umum Projek Baiki Bekalan Air Beting Maro
Penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN)
Beting Maro hari ini menerima khabar gembira apabila Datuk Seri Najib
Tun Razak mengumumkan peruntukan RM54.3 juta bagi penyambungan bekalan
air paip dan pembesaran paip sedia ada.
Pengumuman Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN)
itu disambut tepukan dan sorakan gemuruh daripada lebih kurang 2,000
penduduk yang menghadiri perasmian Sekolah Kebangsaan Pusa, kira-kira
70km dari sini. Menurutnya, kerja penyambungan paip bekalan air itu
bermula hari ini melalui peruntukan RM44.3 juta, dan dijangka siap
menjelang November tahun depan.
“Saya juga telah diberitahu oleh calon kita (Razaili Gapor untuk DUN
Beting Maro) bahawa di sini, paip air juga agak kecil, dan dengan ini
saya luluskan peruntukan RM10 juta untuk membesarkan paip ini,” katanya.
Najib berkata, penyediaan kemudahan asas sentiasa menjadi agenda
utama kerajaan BN khususnya bagi meningkatkan lagi kehidupan rakyat di
luar bandar.
Dalam pada itu, Najib berkata, kerajaan persekutuan bercadang
menyiapkan kerja pembaikan 183 buah sekolah daif di Sarawak menggunakan
kaedah pembinaan cepat Sistem Pembinaan Bersepadu (IBS) dalam tempoh
tujuh tahun. Sebagai permulaan, lapan bangunan sekolah telah dan sedang
disiapkan menggunakan kaedah itu, yang hanya memerlukan tempoh kira-kira
lapan minggu.
Najib menarik perhatian bahawa pembangunan modal insan merupakan
antara agenda utama kerajaan BN selama ini bagi membolehkan generasi
baharu daripada golongan berpendapatan rendah turut mengecapi kehidupan
lebih baik.
“Melalui pendidikan, kita dapat mengubah hidup bukan sahaja satu generasi, malah generasi seterusnya,” kata beliau.
Pada majlis itu, Najib turut menyampaikan warta tanah Hak Adat Bumiputera kepada empat buah kampung di kawasan Beting Maro.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment