Thursday, May 05, 2016
Shabery Cheek Sepatutnya Naik Helikopter Yang Hilang
Helikopter yang membawa seorang timbalan menteri
yang hilang sejak semalam sepatutnya dinaiki oleh Menteri Pertanian dan
Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Ketika Shabery hendak menaiki helikopter itu untuk pulang ke Kuching
selepas menghadiri satu majlis di pekan Spaoh, Timbalan Ketua Menteri
Sarawak Tan Sri Alfred Jabu yang mengiringi Shabery menawarkan
helikopter rasminya kepada beliau dan rombongannya.
Pengawal peribadi polis kepada Shabery, Fadhrul Azmar Remli
memberitahu media hari ini, “Shabery sudah hendak menaiki helikopter
tersebut tetapi dalam minit-minit terakhir Jabu suruh tukar helikopter.”
Fadhrul berkata Jabu memberitahu Shabery supaya menaiki helikopter
rasminya kerana beliau (Jabu) tidak jadi terbang ke Sibu untuk satu
acara lain.
Fadhrul yang turut bersama rombongan Shabery, sebelum itu menaiki
helikopter yang hilang itu dari Tanjung Bijat ke Spaoh manakala Shabery
menaiki helikopter jenis lain.
Helikopter jenis RP-C 6828 itu dalam perjalanan dari Betong ke
Kuching apabila ia hilang daripada pengesanan radar, menurut Jabatan
Penerbangan Awam.
Pesawat itu berlepas dari Betong, kira-kira 250km dari sini, pada 4.12 petang dan sepatutnya tiba di Kuching sekitar 5 petang.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengesahkan helikopter itu
membawa enam orang, antaranya Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan
dan Komoditi Datuk Noriah Kasnon, suaminya Asmuni Abdullah, Anggota
Parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Muhammad Khairil Anuar Wan Ahmad.
Turut berada dalam helikopter itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian
Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Sundaran Annamalai,
pengawal peribadi Noriah, Ahmad Sobri Harun, dan juruterbang warga
Filipina Rudolf Rex Ragas.
Menceritakan semula atur cara Shabery semalam, Fadhrul berkata
Shabery ke Tanjung Bijat, di Bahagian Sri Aman, bagi menghadiri majlis
yang turut dihadiri Jabu dengan menggunakan kereta dari Kuching.
Selepas acara itu, Shabery hendak ke pekan Spaoh pula untuk
menghadiri satu lagi acara bersama petani tempatan dan Jabu mempelawa
menaiki helikopternya.
Fadhrul berkata beliau yang tidak dapat menyertai Shabery dan Jabu,
telah terbang berasingan dengan menaiki helikopter RP-C 6828 yang disewa
untuk Shabery ke Spaoh.
Selepas berakhir acara di Spaoh itu, Shabery telah bersedia untuk
menaiki helikopter yang disewakan untuknya pulang ke Kuching tetapi
ditahan oleh Jabu supaya menaiki helikopternya.
Fadhrul berkata helikopter Shabery yang tidak digunakan itu mendapat
arahan supaya ke bandar Betong untuk mengambil Noriah dan rombongannya
yang turut hendak pulang ke Kuching.
Katanya helikopter yang hilang itu boleh terbang lebih laju daripada helikopter yang dinaiki Noriah ke Betong sebelum itu.
Menurut Fardhrul, foto yang tersebar menunjukkan Noriah dan
rombongannya bergambar di sisi sebuah helikopter lain itu diambil di
Hornbill Skyways di lapangan terbang Kuching sebelum mereka berlepas ke
Betong untuk satu acara berasingan.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment