Monday, June 06, 2016

Kenapa Musa Hitam Buka Semula Cerita Memali?

Kenapa Tun Musa Hitam membangkitkan semula cerita peristiwa berdarah Memali? Peristiwa itu sudah berlalu lebih 29 tahun. Semasa kejadian itu, Musa adalah Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri yang bertanggungjawab kepada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Apabila orang seperti Musa membuka mulut bercerita tentang apa yang berlaku pada ketika itu, apa yang beliau katakan tentulah tidak boleh dipandang remeh.

Jadi, tanda tanya besarnya ialah kenapa Musa buka semula cerita itu sekarang?

Musa seorang ahli politik yang sangat berpengalaman. Beliau aktif dalam politik selama hampir tiga dekad. Di kalangan pemerhati politik, ada yang menyifatkan Musa sebagai perdana menteri yang tidak sempat memegang jawatan. Musa adalah timbalan perdana menteri pertama dalam kabinet Tun Dr. Mahathir Mohamad selama 22 tahun beliau jadi perdana menteri.

Dalam erti kata lain, Musa bukan calang orang. Pengalamannya sangat dihormati. Bukan satu rahsia lagi, Musa selalu jadi tempat orang politik — yang selalu beliau sebut, dalam bahasanya sebagai orang Johor, "penganjur-penganjur" — terutamanya di kalangan generasi baru bertanyakan pandangan, pedoman dan nasihat.

Oleh sebab pengalamannya yang luas itu, Musa tentulah sangat arif akan kesan politik daripada kenyataannya tentang 'cerita sebenar' peristiwa Memali. Untuk berlaku adil kepada Musa, bukan beliau yang menawarkan kenyataan itu. Beliau ditanya mengenainya dalam satu majlis diskusi anjuran kerajaan negeri Kelantan di Kota Bharu pada 27 Mac lepas. Forum itu turut disertai oleh Naib Presiden PAS, Husam Musa.

Kenyataan Musa itu mendedahkan satu perkara: Dr. Mahathir berada di dalam negara semasa kejadian Memali dan Musa bukan memangku jawatan sebagai perdana menteri. Seminggu selepas kenyataannya dalam forum itu, Musa mengeluarkan satu kenyataan media empat halaman pada Jumaat, 2 April.

Penjelasan

Daripada penjelasan lanjut itu, kita tahu pada hari kejadian Musa bersama Pemangku Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Amin Osman mengadap Dr. Mahathir. Mohd. Amin memberi taklimat apa yang berlaku. Musa meminta Dr. Mahathir menangguhkan lawatannya ke China. Dr. Mahathir membuat keputusan tetap mahu ke China kerana ia lawatan negara. Musa memberi cadangan mahu membentangkan peristiwa Memali di Parlimen. Beliau juga meminta masa 24 jam daripada media untuk mendapatkan gambaran lebih tepat dan lengkap. Keesokan harinya, pada 20 November 1985, Musa membentangkan peristiwa Memali di Dewan Rakyat dan seterusnya bertemu dengan media.

Buku Memali: A Police Remembers tulisan Tunku Muszaffar Shah Tunku Ibrahim, bekas Ketua Polis Daerah Baling pada masa kejadian pada 19 November 1985 yang terbit pada 2011.Apa yang berlaku 29 tahun lalu itu tidak seluruhnya diingati lagi oleh rakyat yang umumnya kurang peduli dengan sejarah. Ketika terbitnya sebuah buku yang ditulis oleh bekas Ketua Polis Daerah Baling ketika itu, Tunku Muszaffar Shah Tunku Ibrahim yang terlibat langsung dengan peristiwa itu tiga tahun lalu pun, orang tidak begitu ghairah memperkatakannya semula.

Di kalangan generasi muda pun tidak banyak yang tahu bahawa pada suatu Selasa dalam bulan November itu, 18 rakyat negara ini terbunuh termasuk 4 anggota polis dalam satu operasi polis di Kampung Memali di Baling, Kedah. Operasi itu adalah untuk menahan Ibrahim Mahmood atau Ibrahim Libya yang kemudiannya terbunuh dalam insiden itu.

Apa yang berlaku di Memali pada hari itu juga sebenarnya adalah kemuncak daripada rentetan yang bermula hampir setahun sebelumnya. Pada awal pagi 2 September 1984, polis melancarkan satu operasi untuk menahan Ibrahim. Menurut catatan Tunku Muszaffar Shah, ada arahan khusus daripada Musa supaya polis tidak menggunakan kekerasan dan sekiranya ada penentangan, mereka hendaklah berundur. Pada awal pagi 2 September itu, pengikut-pengikut Ibrahim mempertahankan ketua mereka dan polis kemudiannya berundur.

Terkait dengan peristiwa Memali itu ialah kertas putih bertajuk yang dikeluarkan oleh kerajaan pada 8 November 1984 bertajuk 'Ancaman Terhadap Perpaduan Umat Islam dan Keselamatan Negara'. Kertas putih itu dikeluarkan untuk mendedahkan kegiatan anasir, kumpulan dan individu tertentu yang menyalahguna serta mengeksploitasikan agama Islam untuk kepentingan politik. Peristiwa Memali itu juga terkait dengan apa yang disebut dalam kamus politik negara ini sebagai "Amanat Haji Hadi". Selebihnya, ia terkait dengan isu hubungan UMNO dan PAS serta peranan parti orang Melayu itu dengan hal-ehwal Islam.

Polemik

Musa tidak berniat untuk mencetuskan polemik baru apabila beliau membangkitkan semula cerita Memali. Beliau hanya menjawab soalan yang ditanyakan kepadanya dan kemudian menjelaskan kenyataannya itu. Beliau sedar kenyataannya itu "menjemput pelbagai ulasan dan padangan" yang positif dan negatif serta "tohmahan, tuduhan dan fitnah" ke atas dirinya. Tetapi dalam kenyataan panjang lebarnya, Musa juga menyebut bahawa majlis forum di Kota Bharu itu memberikannya peluang "untuk memperbetulkan fakta sejarah akan peristiwa penting" yang melibatkan dirinya.

Sejarah yang betul itu penting bagi Musa kerana ia melibatkan nama baiknya.

Sejarah yang betul itu juga penting bagi negara ini dan masa depannya.

Jadi, apakah ertinya pendedahan Musa ini kepada cerita Memali? Inilah masanya untuk sejarah itu disemak kembali. Menyemak sejarah itu adalah usaha melawan lupa. Tetapi dalam hal Memali ini, ia bukan saja usaha melawan lupa. Ia juga melawan tidak tahu: Apakah sebenarnya yang terjadi pada hari berdarah itu?

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment