Pilihanraya Sarawak yang mempunyai 82 kerusi DUN adalah gelanggang terbaik PAS dan DAP menguji pengaruh masing-masing selepas tidak lagi bersama dalam Pakatan Rakyat.
PAS yang secara tradisinya bertanding di kerusi majoriti Islam menegaskan tidak gentar untuk bertanding di mana-mana kerusi yang majoritinya bukan Islam pada Pilhan Raya Negeri (PRN) Sarawak.
Ia peluang terbaik PAS untuk menunjukkan ia bukan parti untuk orang Islam semata-mata.
Menurut Naib Presidennya Datuk Iskandar Abdul Samad, menafikan PAS hanya boleh bertanding di kerusi-kerusi di mana orang Islam melebihi 80 peratus.
"PAS dijangka akan bertanding di kerusi-kerusi DUN di mana orang Islam bukan majoriti.
"Berbeza dengan pandangan sebelum ini bahawa PAS hanya boleh bertanding di kerusi-kerusi di mana peratus orang Islam melebihi 50 orang," katanya dalam satu kenyataan media.
Ujar Iskandar, walaupun mempunyai peranan dalam masyarakat Islam, PAS tidak akan melupakan untuk memperjuangkan nasib dan masa depan bukan Islam seperti yang dilakukan untuk masyarakat Islam.
"Sejak 2008, Exco, wakil rakyat dan Ahli Majlis pihak berkuasa tempat PAS di Selangor telah berperanan dengan jayannya di dalam masyarakat di mana peratus orang bukan Islam adalah tinggi.
"Walau bagaimanapun, PRN Sarawak merupakan satu peluang lagi untuk menegaskan semula peranan PAS itu kepada rakyat," katanya.
Tambah beliau PAS akan menggunakan isu yang bersifat kepelbagaian kaum bagi meraih pengundinya nanti yang juga digunakan sebagai strategi melawan seterunya iaitu Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan.
"Memperjuangkan nasib dan masa depan mereka seperti dilakukan untuk masyarakat Islam. Serta memahami keperluan dan aspirasi mereka," jelas beliau.
Sementara itu, dalam kem Pakatan Harapan nampaknya kusut kerana berbagai sebab antaranya pembahagian kerusi yang belum selesai.
Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen memberitahu rundingan antara tiga parti iaitu DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (PAN) masih berjalan.
“Pembahagian kerusi antara DAP, PKR dan PAN masih belum muktamad. Kita masih berunding mengenai perkara ini,” katanya seperti dilaporkan borneopost.com.
Chong yang juga ahli parlimen Bandar Kuching dan Adun Kota Sentosa berkata pembahagian kerusi antara ketiga-tiga parti itu akan dimuktamadkan dalam waktu terdekat ini.
Beliau juga enggan mengulas mengenai tindakan PKR yang mengumumkan calon-calonnya khas untuk zon selatan dan tujuh daripadanya masih dalam rundingan.
“Saya tidak mahu mengulas mengenai perkara itu kerana hakikatnya pembahagian kerusi antara kami masih berlangsung. Saya lebih suka untuk berdiam diri,” ujarnya.
Sebelum ini Chong berkata DAP akan bertanding di 35 hingga 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk 11 kerusi baharu pada PRN nanti dan kira-kira 22 daripada kerusi yang akan ditandingi merupakan majoriti Dayak.
PKR baru-baru ini mengumumkan senarai calon-calonnya bagi zon selatan semasa majlis perasmian Bilik Gerakan Utama (BGU) PKR Kuching yang turut dihadiri Presidennya Dr Wan Azizah Wan Ismail baru-baru ini.
Calon-calon tersebut ialah Francis Teron (Opar), Boniface Willie Tumek (Tasik Biru), Jajol Numan (Tanjung Datu), Nurhanim Hanna Mokhsen (Tupong), Mohd Salleh (Satok), See Chee How (Batu Lintang), Voon Chiak Ni (Batu Kitang), Athina Sim (Serumbu), Willie Mongin (Mambong), Musa Ngog (Tarat) dan Cyril Langin (Kedup).
Calon-calon lain ialah Reginald Abell (Triboh), Jamilah Baharuddin (Simunjan), Abang Zulkifli Abang Engkeh (Lingga), Nicholas Mujah (Balai Ringin), Norina Utot (Simanggang), Kolien Liong (Batang Ai), Yukud Daud (Saribas), Vernon Kedit (Layar), Neol Bucking (Bukit Saban), Jemat Panjang (Kalaka) dan Ali Biju (Krian).
Baru-baru ini Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem mengumumkan kemungkinan pilihan raya negeri itu bakal diadakan pada 30 April ini manakala tarikh penamaan calon pula adalah, 18 April.
Parti serpihan PAS iaitu PAN sebelum ini dilaporkan nekad untuk meletakkan calon bagi bertanding di Sarawak.
No comments:
Post a Comment