Monday, March 07, 2016

Deklarasi Rakyat Bukti Tun Mahathir Sekutu Pembangkang, Kata Penganalisis

SHAH ALAM : Deklarasi Rakyat yang dicetuskan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membuktikan beliau sekarang bersekutu dengan pembangkang di dalam menjatuhkan kerajaan kini.

Penganalisis politik, Edwin Michael Muniandy berkata deklarasi rakyat itu adalah agenda pembangkang yang ingin menyingkirkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

"Saat semalam sudah membuktikan Mahathir kini adalah sekutu rapat pembangkang.

"Jika kita lihat kembali politik sebelum ini Mahathir dilabelkan sebagai maha firaun, maha kejam, diktator dan sebagainya dan kini pembangkang pula telah menghulurkan tangan dengan seorang diktator.

"Ini adalah satu persoalan yang menarik dan sekarang Mahathir dilihat sudah semeja dengan pembangkang dan sudah tentu bila kita lihat deklarasi rakyat itu adalah agenda pembangkang yang sememangnya sudah ada dalam buku jingga," katanya ketika dihubungi media hari ini.

Menurut Edwin, tindakan Tun Mahathir bersekongkol dengan pembangkang adalah perkara yang tidak boleh diterima oleh ahli Umno terutamanya.

Jelasnya, jika benar Tun Mahathir sekadar ingin menyingkirkan Najib beliau tidak perlu sampai ke tahap menyertai pembangkang yang sememangnya dari awal ingin menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional.

"Tapi apa yang berlaku sekarang ini sudah memberikan impak negatif kepada Barisan Nasional dan Umno kerana dia sudah hulurkan tangan persahabatan pada pembangkang.

"Ini yang tidak boleh diterima jika kita lihat pada sudut pandangan yang neutral kita dapat lihat ia adalah sesuatu yang tidak masuk akal.

"Apa sebenar Mahathir perjuangkan? Adakah dia benar-benar mahukan Najib disingkirkan dan jika benar perjuangannya melibatkan Najib seorang kenapa dia boleh bertindak sampai ke tahap menyertai pembangkang," ujarnya.

Semalam, Dr Mahathir, anaknya Datuk Seri Mukhriz dan Tan Sri Muhyiddin Yassin secara rasmi menyertai pemimpin pembangkang dan aktivis untuk menggulingkan Datuk Seri Najib Tun Razak, apabila menandatangani Deklarasi Rakyat yang mendesak pengunduran pemimpin berkenaan.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment