Wednesday, March 09, 2016
Deklarasi Rakyat : Mahathir, Muhyiddin Perkuda Pembangkang - Chegubard
SHAH ALAM : Pembabitan Pakatan Harapan dalam Deklarasi Rakyat dibawa Tun
Dr Mahathir Mohamad jelas menunjukkan gabungan pembangkang berjaya
diperkuda oleh bekas perdana menteri itu, demikian kata bekas ketua PKR
Cabang Rembau Badrul Hisham Shaharin.
Badrul atau Chegubard berkata segala tindak tanduk Tun Mahathir adalah
untuk menukar kepimpinan sedia ada dan pembangkang adalah medium terbaik
bagi beliau untuk merealisasikan impian berkenaan.
"Deklarasi Rakyat keadaanya begini, saya tolak usaha di mana Tun Dr
Mahathir, (Tan Sri) Muhyiddin memperkudakan pemimpin pembangkang atas
sentimen rakyat. Asas saya adalah rakyat sudah muak dengan BN, kita
(pembangkang) tidak perlukan Tun Mahathir pun, beliau tidak kuat. Tidak
semua (ahli Umno) keluar.
"Kita agak keterlaluan, sila baca kenyataan (Datuk Seri) Azmin Ali
sebelum menandatangani deklarasi tersebut, malah kenyataan yang dibuat
oleh (Datuk) Mujahid Yusof Rawa yang mengangkat Tun Mahathir sebagai
negarawan.
Kita kena ingat bahawa tujuan utama beliau adalah untuk menukar (Datuk
Seri) Najib seperti mana menukar kepimpinan Tun Abdullah Badawi apabila
Pak Lah gagal menjadi boneka dia tukar," katanya kepada Antarapos.
Chegubard berkata, langkah sama pernah dibuat oleh Mahathir sebelum ini
yang kurang berpuas hati dengan pencapaian orang pilihannya sendiri, Tun
Abdullah Ahmad Badawi.
Langkah 'kitar semula' skrip lama itu katanya, berjaya dilakukan bekas
pemimpin Umno itu dengan menjalinkan kerjasama bersama pembangkang yang
nyata mahu Najib digugurkan.
"Ini pengulangan skrip lama, Tun Mahathir keluar Umno pada zaman
pemerintahan Tun Abdullah, sama macam pemerintahan (Datuk Seri) Najib.
Dengarlah elok-elok, tetap sama saling tak tumpah, sama. Yang saya
pertikaikan adalah rakyat jadi keliru, tetiba pembangkang boleh
kerjasama, rakyat akan tengok mana prinsip pembangkang," soal beliau.
"...sebarang usaha mengaitkan Tun Mahathir dengan reformasi pembangkang merupakan satu usaha yang bodoh dan hodoh," katanya.
Pada Jumaat, Tun Mahathir mengepalai 57 yang lain menandatangani
Deklarasi Rakyat yang rata-ratanya menuntut Najib meletak jawatan
sebagai perdana menteri.
Antara yang hadir Timbalan Presiden Umno yang digantung, Tan Sri
Muhyiddin Yassin; bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir;
bekas Presiden MCA, Tun Dr Ling Liong Sik dan bekas Presiden Kita Datuk
Zaid Ibrahim.
Pembangkang diwakili penasihat DAP Lim Kit Siang; Timbalan Presiden PKR,
Datuk Seri Azmin Ali; Presiden Parti Amanah Negara (PAN) Mohamad Sabu
dan beberapa kepimpinan Pakatan Harapan.
Ini termasuk Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Khairuddin Aman Razali;
Pengarah Pilihanraya PAS, Datuk Mustafa Ali dan bekas ketua
penerangannya Datuk Mahfoz Omar.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment