Thursday, March 10, 2016

Fitnah – Mengapa Tewas Kepada Nafsu Sendiri?

Sejak dibangku sekolah kita dihidangkan pengkisahan di dalam sejarah Islam bagaimana sahabat Nabi Muhammad SAW tiga antara empat Khulafa’ Rasyidin Radiallahu ‘Anhum menjadi mangsa akibat fitnah, bahkan isteri Baginda, Saidatina Aisyah r.a juga pernah mengalaminya.

“Wahai orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa berita, maka selidikilah (untuk menentukan kebenarannya) supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.” Terjemahan ayat enam surah al-Hujurat.

Kerana itu Islam amat menitikberatkan dan menjadi tanggungjawab setiap daripada kita untuk menyelidiki terlebih dahulu kesahihan sesuatu maklumat kerana kebatilan maklumat amatlah bahaya kesannya kepada diri sendiri dan masyarakat keseluruhannya.
Tolak Fitnah
Mafhum ayat 191 dan 217 dalam surah al-Baqarah jelas menegaskan bahawa ‘fitnah itu lebih besar bahayanya dari membunuh’.

Membunuh hanya membabitkan perlakuan antara pelaku, mangsa dan saudara-mara sahaja tetapi fitnah? Mampu merosakkan bukan sahaja maruah mangsa dan kaum keluarga, malahan memberi kesan lebih buruk ke tahap meruntuhkan sesebuah tamadun.

Tetapi, yang menjadi persoalan sehingga kini mengapa perlakuan mencipta dan menyebarkan cerita-cerita yang tidak diketahui kesahihannya berleluasa di kalangan orang-orang Islam yang dalam masa yang sama kononnya mendabik dada mengaku patuh dan taat mengikuti ajaran al-Quran dan al-Hadis?

Justeru itu juga, walau siapapun kita, walau berimejkan apa sahaja terutama berada di dalam kelompok yang mengaku mendukungi Islam, itu bukan bermakna tiket untuk ‘menghalalkan’ membuat kenyataan-kenyataan yang berunsur fitnah.

Adakah mereka yang menjadikan fitnah sebagai ‘makanan harian’ mengenepikan soal dosa pahala?
Adakah penyebaran berita perlu segera di’viral’kan dengan tujuan menimbulkan persepsi negatif lebih penting daripada mendapatkan kebenaran?

Apabila terbukti tidak benar, tanpa segan-silu hanya memohon maaf dan menganggap gurauan semata-mata, bahkan ada hingga ke tahap yang lebih terkutuk, meminta derma merayu ehsan daripada masyarakat disebabkan diri terbukti bersalah.

Rasulullah SAW menjelaskan, tatkala ditanya oleh seorang sahabat, “Wahai Rasulullah, apakah itu ghibah?” Lalu jawab Baginda, “Menyebut sesuatu yang tidak disukai oleh saudaramu di belakangnya.”

Kemudian beliau ditanya lagi, “bagaimana jika apa yang disebutkan itu benar?” Jawab beliau, “Kalau sekiranya apa yang disebutkan itu benar, maka itulah ghibah, tetapi jika hal itu tidak benar, maka engkau telah melakukan buhtan (pembohongan besar).” Hadits Riwayat Muslim, Abu Daud dan At-Tirmidzi.

Al-Quran di dalam surat Al-Hujarat ayat 12 jelas menghuraikan persoalan fitnah.

Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. 

Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.

Banyak lagi contoh-contoh dari al-Quran dan al-Hadis yang menyentuh mengenai sifat-sifat mazmumah tersebut, tetapi mengapa sukar untuk menahan nafsu diri dari melakukannya?

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment