Wednesday, March 16, 2016

Rumah Mampu Milik RM400,000, Agenda Halus Dap Usir Orang Miskin Di P.Pinang?

BUKIT BENDERA : Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang, Rafizal Abdul Rahim menyelar tindakan kerajaan negeri Pulau Pinang yang hanya pejam mata dengan ‘perangai’ pemaju di negeri ini yang menawarkan rumah ‘mampu milik’ dengan harga RM400 ribu.

Lebih mendukacitakan apabila rumah dengan harga sebegitu hanya mempunyai dua bilik dan berkeluasan sekadar 600 meter persegi.

Jelasnya, rakyat di negeri Pulau Pinang sangat memerlukan rumah tetapi bukanlah dengan harga yang sebegitu tinggi.

rumah mampu temberang“Harga tersebut amat keterlaluan. Mana mungkin rakyat yang rata-rata berpendapatan rendah dapat membeli rumah dengan harga RM400 ribu. Sepatutnya kerajaan negeri mengawal harga yang ditetapkan oleh pemaju ataupun kerajaan negeri sendiri menyediakan rumah mampu milik untuk rakyat.

“Kalau dengan harga RM400 ribu itu, hanya mereka yang berpendapatan RM5000 ke atas sahaja yang layak beli. Mana nak cari orang yang gaji macam tu ramai-ramai… Yang tidak mampu bagaimana? Adakah mereka ini tidak layak untuk duduk di negeri ini?

“Semasa kerajaan Barisan Nasional (BN) memerintah dahulu, rumah hanya berharga RM25 ribu, RM 42 dan RM72 ribu malah ada rumah sewa milik kerajaan negeri yang disewa hanya dengan harga RM100 sebulan. Tetapi kini ini semua tidak wujud lagi,” ujarnya kepada UMNO-Online.

Tambah Rafizal, beliau mahu Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menjawab adakah ini agenda Dap secara terhormat dan halus mahu mengusir orang miskin dari negeri ini.

“Jika tidak ada rumah berharga di bawah RM70 ribu maka orang miskin tidak ada pilihan lain selain daripada keluar daripada Pulau Pinang kerana hanya mereka yang ada duit dan ‘orang luar’ yang mampu beli rumah berharga RM400 ribu ini.

“Perkara ini sangat serius. Tindakan ini secara tidak langsung boleh ditafsirkan sebagai menghalau secara terhormat dan halus.

“Sebenarnya, isu rumah mampu milik ini bukanlah isu baru. Sejak Dap memerintah negeri ini, tidak ada satupun rumah kos rendah dan kos sederhana yang dibina oleh Dap. Yang dibina hanyalah ‘rumah mampu tengok’,” katanya lagi.

Beliau turut mendesak Guan Eng untuk menjelaskan tindakan kerajaan negeri sebelum ini yang menyeru penduduk mengisi borang bagi mendapatkan rumah mampu milik tetapi dalam masa sama hanya meluluskan rumah bertaraf mewah dan elit.

“Adakah ini satu lagi sandiwara politik Dap yang hanya menanam tebu ditepi bibir bagi mengelirukan rakyat. Mereka memberi harapan tetapi pada akhirnya rakyat akan kecewa.

“Saya rasa, generasi muda di negeri ini tidak mungkin akan berpeluang untuk mempunyai rumah di negeri kelahiran mereka. Akhirnya mereka terpaksa merempat dan menjadi anak dagang di negeri orang,” jelas Rafizal.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment