Friday, March 11, 2016

Kelab Timbalan Ketua UMNO Bahagian Sokong Kepimpinan Najib

http://www.umno-online.my/wp-content/uploads/2016/03/FW461092_PTJ10_110316_TKUB-e1457691072713.jpg
PUTRAJAYA : Kelab Timbalan Ketua UMNO Bahagian (TKUB) hari ini menyatakan sokongan padu terhadap kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai perdana menteri dan presiden parti.

Presidennya Datuk Norizan Ali berkata kelab itu yang mewakili 191 timbalan ketua UMNO bahagian di seluruh negara turut sebulat suara mengecam deklarasi untuk menjatuhkan Najib diketuai bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga bekas presiden UMNO.

Norizan yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kepong berkata gerakan untuk menjatuhkan Najib yang telah dipilih secara demokrasi, mampu menggugat kestabilan negara dan politik tanah air.

“Cubaan menggulingkan Najib adalah satu pengisytiharan perang kepada seluruh ahli UMNO dan rakyat yang telah memberi mandat kepada kerajaan yang diterajui oleh Najib.

“Sokongan dan ikrar taat setia ini adalah berlandaskan bahawa parti keramat ini merupakan parti yang terbukti memperjuangkan bangsa, agama dan tanah air dari dulu, kini dan selamanya,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat khas kelab itu, di sini.

Timbalan Presiden TKUB Datuk Seri Abdul Hamid Mohd Nazahar berkata tindakan menggulingkan Najib adalah di luar kerangka perjuangan yang pernah didukung sendiri oleh Dr Mahathir.

“Kita anggap beliau (Dr Mahathir) sebagai orang tua yang telah banyak berjasa kepada kita, tetapi kita harap kepentingan parti mengatasi segalanya.

“Jadi kami seru Dr Mahathir untuk kembali bersama parti kerana dahulu beliau sendiri pernah berkata, apabila kita berada di persimpangan, parti perlu kita utamakan,” kata Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuantan itu. 

Ditanya mengenai tindakan terhadap bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas menteri besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir yang turut menandatangani deklarasi itu, beliau berkata kelab meletakkan sepenuh kepercayaan terhadap Majlis Tertinggi parti untuk membuat keputusan terbaik.

“Kita juga ingin menyeru kepada semua pihak terutamanya kepada ahli-ahli parti yang telah terlanjur, untuk pulang ke pangkal jalan kerana sejarah telah membuktikan bahawa UMNO dan Barisan Nasional yang membangunkan negara seperti yang ada pada hari ini,” katanya.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment