Friday, March 11, 2016
PAS Dijangka Bergabung Dengan PSM, Ikatan, Perkasa...
Blok baru pembangkang yang diumumkan Setiausaha Agung PAS Datuk
Takiyuddin Hassan dipercayai akan menyaksikan parti berjenama Islam itu
membentuk gabungan dengan Parti Sosialis Malaysia (PSM) Parti Ikatan
Bangsa Malaysia (Ikatan) dan NGO berhaluan kanan Perkasa.
Gabungan ini akan membentuk pakatan pembangkang kedua selepas DAP, PKR dan PAN bergabung dalam Pakatan Harapan.
Agendadaily difahamkan walaupun Presiden Ikatan Tan Sri Abdul Kadir
Sheikh Fadzir menafikan pembabitan partinya dalam gabungan tersebut,
tapi 'itu penafian politik'.
Mesyuarat bulanan PAS pada Rabu yang dipengerusikan Datuk Seri Abdul
Hadi Awang secara dasarnya sudah memberikan 'greenlight' untuk PAS
mengetuai gabungan baru tersebut.
PSM yang sebelum ini pro Pakatan Rakyat dilihat semakin menjauhi Pakatan
Harapan selepas diketepikan dan mencari rakan baru untuk memperkuatkan
parti.
Manakala Ikatan yang tidak mempunyai pengalaman pilihanraya memerlukan
ahli dan kader parti PAS bagi mempromosikan agenda parti tersebut.
Selain Perkasa yang merupakan NGO pro Melayu yang dikecam baru-baru ini
selepas Presidennya Datuk Ibrahim Ali terlibat dengan majlis Deklarasi
Mahathir yang turut dihadiri pemimpin DAP dan PKR.
Pada Khamis, Takiyuddin enggan mendedahkan parti sekutu PAS buat masa
ini, ujar Takiyuddin, blok terbaru itu adalah bagi memastikan PAS kekal
relevan dalam PRU 14 nanti.
"Kerjasama politik antara parti dengan parti untuk menghadapi Pilihanraya Umum ke 14, semestinya pembangkang.
"Di Malaysia ada lebih 20 parti politik yang berdaftar jadi ada yang
kepunyaan satu kelompok dan ada parti kepunyaan satu bangsa, tapi tujuan
untuk menghadapi pilihan raya. Sebab itu kita dah umumkan kita adalah
blok pembangkang iaitu blok politik ketiga," katanya lagi.
Ditanya sama ada parti sekutu itu merupakan salah satu parti dalam PH,
ujarnya PAS secara jelas memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan
gabungan itu selepas terkuburnya Pakatan Rakyat (PR) tahun lalu.
"Kita dah beritahu dalam perlembangaan, kita boleh kerjasama dengan
sesiapa sahaja yang mempunyai arah tuju politik yang sama dengan PAS...
bukan parti dalam Pakatan Harapan. Kami masih Pakatan Rakyat dengan
kerjasama dengan PKR.
"Kerjasama adalah berkonsepkan muafakat dengan satu parti politik dan
bukan Pakatan Harapan, kami adalah pembangkang dan akan ada parti lain
yang akan sertai PAS," jelas Takiyuddin.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment