Monday, March 07, 2016

Pembangkang Menangguk Di Air Keruh Kemelut Politik UMNO - Penganalisis

SHAH ALAM : Blok pembangkang dilihat sengaja menangguk di air keruh apabila pantas mengambil peluang ke atas senario politik yang berlaku kepada Umno masa kini, demikian menurut penganalisis politik Dr Azizuddin Mohd Sani.

Pensyarah di Universiti Utara Malaysia (UUM) itu beranggapan langkah yang diambil oleh pembangkang itu seperti melupakan 'luka' lama yang pernah dihadapi bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Ada kumpulan (di kalangan pembangkang) yang mengangguk di air keruh, apa sahaja usaha dan tindakan yang boleh menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) mereka akan sahut. Jadi itu yang sekarang ada dua kumpulan yang nampaknya berperanan begitu.

"Saya nampak perjuangan pembangkang lebih bercorak serampang dua mata dalam bekerjasama iaitu bergerak atas dasar Pakatan Harapan (PH) tetapi dalam masa yang sama tidak tolak untuk bekerjasama dalam agenda yang Tun Mahathir bawa. Apa-apa pun mereka akan memastikan matlamat ke arah menjatuhkan kerajaan BN, ia yang diinginkan oleh PH dan Tun Dr Mahathir," katanya kepada Antarapos.

Perkembangan terkini di mana pembangkang bersekongkol dengan Dr Mahthir dalam usaha menjatuhkan Datuk Seri Mohd Najib Razak selaku Perdana Menteri, memperlihatkan seolah mereka 'menjilat ludah sendiri'.

Malah kata Dr Azizuddin ia turut didorong oleh 'dendam' mantan perdana menteri itu dan bertindak keluar parti bagi menjadi penggerak utama kepada penyingkiran Najib.

"Setelah gagal melalui dalam Umno, dia menggunakan cara di luar Umno tetapi di luar Umno, apa yang saya nampak pendekatan Tun Mahathir cuba bawa adalah dengan mewujudkan satu gerakan massa, sebab di zaman (Datuk Seri) Anwar Ibrahim, beliau yang ketuai. Sekarang tidak ada pemimpin yang berkaliber untuk dijadikan kepala untuk gerakan itu (di dalam Umno) jadi itu nampaknya beliau jadikan dirinya sebagai piminpin.

"Beliau cuba tarik sokongan pembangkang untuk berjuang bersama beliau, tapi mereka bagi kebebasan kepada ahli untuk bersama Tun M untuk menumbangkan (Datuk Seri) Najib melalui jalan luar bukan dalamam parti," katanya.

Dr Mahathir dan sebahagian pimpinan pembangkang semalam mengadakan sidang media dan menandatangani deklarasi bersama bertujuan menyingkirkan Najib susulan masalah politik semasa negara.

Langkah yang diusahakan Dr Mahathir itu turut mendapat maklum balas positif daripada Anwar.

Dalam satu kenyataan, Anwar dilaporkan berkata sanggup menghulur tangan kepada seteru politiknya itu bagi menyingkirkan Najib sebagai perdana menteri.

"Saya menyokong pendirian rakan-rakan dari masyarakat sivil, parti politik dan individu-individu termasuk Tun Dr Mahathir, Tan Sri Muhyiddin Yasin dan lain-lain untuk menggembleng kekuatan dan persefahaman bersama seperti disuarakan oleh Ketua Pembangkang baru-baru ini," kata Anwar dalam satu kenyataan semalam. 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment