Monday, March 07, 2016
Pemuda UMNO Kecam Tindakan Mahathir - Khairy Jamaluddin
Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mengecam tindakan Tun Dr Mahathir
Mohamed yang telah bersekongkol dengan parti-parti pembangkang melalui
satu kenyataan bersama.
Walaupun perbezaan pendapat satu perkara yang biasa dalam politik,
tindakan untuk berkongsi pentas dengan pihak lawan sehingga mengenepikan
segala pendirian sebelum ini amat mengecewakan dan menandakan politik
‘matlamat menghalalkan cara’ yang wajar ditolak. Mereka yang berkongsi
pentas dengan Tun Dr Mahathir ini jugalah yang beliau telah menentang
selama kerjayanya yang cukup lama.
Kami akan terus memberi sokongan penuh kepada Presiden UMNO, Dato’ Sri
Mohd Najib Tun Razak, untuk memimpin parti dan kerajaan. Kami yakin
program transformasi Dato’ Sri Najib akan berjaya mengekalkan kestabilan
politik, menjana pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan
rakyat.
Tun Dr Mahathir dan rakan-rakannya sedia maklum, penentuan bagi siapa
yang akan menerajui kerajaan tidak boleh dibuat pada satu sidang media
mahupun melalui kempen menandatangani memorandum. Dalam sistem
demokrasi, penentuan itu hanya boleh dibuat pada pilihanraya melalui
mandat pengundi. Jika mereka tidak puas hati, kami cadangkan mereka
bergabung dalam satu perikatan politik rasmi dan berdepan dengan Barisan
Nasional pada pilihanraya umum kelak.
UMNO dan Barisan Nasional akan terus berkhidmat demi rakyat dalam
menjayakan program transformasi Dato’ Sri Najib dan agenda nasional
Rancangan Malaysia ke-11. Kami tiada masa untuk berpolitik kerana yang
lebih utama adalah usaha yang dijalankan oleh kerajaan dibawah pimpinan
Dato’ Sri Najib untuk menjaga kebajikan rakyat.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment