Friday, March 11, 2016
UMNO Masih Lagi Parti Pemerintah Dan Tidak Berada Dalam Kedudukan Kronik
Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Tan Sri Annuar Musa berkata UMNO tidak
berada dalam kedudukan kronik tetapi berdepan dengan cabaran dan ujian
getir yang sebenarnya menguji ketahanan serta memperkasakan antibodi
politik.
Jelasnya tidak ada satupun parti politik dalam dunia ini yang tidak berhadapan dengan cabaran isu dan sebagainya.
“UMNO masih parti pemerintah dan membentuk kerajaan dengan mengikut
peraturan yang ada dalam perlembagaan. Cabaran dan dugaan itu adalah
perkara biasa bagi pemerintah. Lagi banyak cabaran yang kita hadapi,
maka kita akan lebih kuat dengan syarat UMNO ada positif attitude untuk
menangani masalah.
“Perlu diingat bahawa setiap cabaran itu adalah proses untuk menguji
ketahanan dan memperkasakan antibodi politik. Kalau banyak menghadapi
ujian maka kita akan membina ketahanan diri yang lebih tinggi,” katanya.
Tambah beliau pada masa ini isu-isu yang sedang dihadapi oleh UMNO
hanyalah isu biasa dan tidak ada perkara yang luar biasa kerana UMNO itu
adalah sebuah parti yang solid.
“Kita adalah sebuah parti yang mengamalkan permuafakatan. Kita ada
bahagian-bahagian, 22 ribu cawangan dan ahli lebih tiga juta. Berbeza
dengan apa yang pernah UMNO alami dulu dengan wujudnya team A Team B,
kabinet berpecah dua, majlis tertinggi berpecah dua.
“Keadaan ini tidak wujud sekarang. UMNO sedar ia sedang diasak daripada
luar dan dalam namun kita berazam untuk bersatu dan bermuafakat kerana
menerusi pengalaman, hanya dengan bersatu dan bermuafakat kita mampu
teruskan legasi,” ujarnya.
Justeru itu, beliau berkata UMNO perlu bersikap lebih terbuka dan
menjalinkan hubungan rapat dengan media arus perdana, kerana peranan
media amat penting di dalam menyebarkan segala maklumat berkaitan
perjuangan UMNO.
“Media memainkan peranan yang penting dalam menyebarkan maklumat tentang UMNO agar rakyat lebih memahami apa itu UMNO.
“Kerana itu UMNO tidak boleh berada dalam kepompong sendiri dan perlu
lebih terbuka dan bersikap responsif kepada kehendak pihak media demi
memudahkan kerja mereka untuk menyebarkan maklumat.
“Kerana itulah saya mengadakan pertemuan dengan rakan-rakan media demi
menjalinkan hubungan yang lebih baik selain boleh mendapatkan gambaran,
nasihat, maklum balas dan teguran,” katanya.
Dalam kunjungan ke Wisma Bernama hari ini, Tan Sri Annuar bersama
Jawatankuasa Penerangan UMNO meluangkan masa lebih dua jam untuk
meninjau di samping mendengar taklimat berkenaan operasi agensi berita
tersebut.
Kehadiran beliau telah disambut Ketua Pengarang Bernama, Datuk Zakaria
Abd Wahab, Timbalan Ketua Pengarang, Datuk Mokhtar Hussain, Mikhail Raj
Abdullah dan Ahmad Zukiman Zain, pengarang dan pegawai kanan.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment