Wednesday, March 09, 2016
Yang Nak Dikorban Mahathir Adalah Najib, Yang Terkorban Mukhriz Mahathir..Semuanya Berpunca Mahathir Ayahnya Sendiri
Deklarasi Anti-Najib yang diketuai oleh Mahathir pada Jumaat lalu
sebenarnya membawa signifikan yang amat besar kepada politik negara,
khususnya di dalam UMNO sendiri. Itu hakikat yang tidak boleh dinafikan
dan ditolak sama sekali. Lebih-lebih lagi kedudukan Mukhriz Mahathir
yang sebelum ini digembur-gemburkan sebagai ‘jelmaan kehebatan Mahathir’
kedua bagi menggantikan bapanya sehinggakan semua terpedaya dan dia
dilantik sebagai Menteri Besar Kedah.
Bukan rahsia lagi apabila Mahathir meloncat marah kerana Najib tidak
membantu dengan kuasanya selaku Presiden UMNO untuk memenangkan Mukhriz
sebagai Naib Presiden UMNO pada pemilihan lepas selepas Mukhriz gagal
dalam pertaruhan untuk menjadi Ketua Pemuda UMNO pada pemilihan
sebelumnya. Kekalahan Mukhriz kepada Hishamuddin Hussein Onn dalam
merebut salah satu daripada tiga tempat Naib Presiden UMNO, benar-benar
mengecewakan Mahathir walaupun pada masa yang sama, pujukan dibuat
dengan perlantikan Mukhriz mengetuai Kerajaan Negeri Kedah.
Dan Mukhriz membalas kepercayaan perlantikan tersebut dengan bersikap
dan bertugas sambil lewa serta ambil mudah dengan dia sendiri sekadar
menjadi Menteri Besar Kedah selama tiga atau empat hari seminggu sebelum
sibuk terbang balik ke Kuala Lumpur atau ke luar negara bersama-sama
ahli keluarganya.
Ada perkembangan menarik yang sedang berlaku di Kedah. Dahulunya, hanya
berita gembar-gembur Mukhriz keluar masuk kampung sebagai Menteri Besar
Kedah, tetapi selepas kehilangan jawatan Menteri Besar Kedah, semakin
rajin pula dia merayap sana sini menjual muka dan namanya hanya
semata-mata kerana keinginannya untuk menjatuhkan Najib Abdul Razak.
Malah kerajinannya berhubung dengan Ketua-Ketua Cawangan – sesuatu yang
jarang dilakukan oleh Mukhriz ketika menjawat jawatan Pengerusi
Perhubungan UMNO dan Menteri Besar Kedah – seperti yang dilakukannya
sekarang, bagi membentuk satu Pakatan menentang Najib Abdul Razak
sekaligus UMNO Kedah, juga amat menakjubkan!
Kehilangan jawatan rupa-rupanya boleh membuatkan seseorang berubah seratus peratus.
Namun, Deklarasi Anti Najib pimpinan Mahathir yang pada mulanya begitu
disambut gilang-gemilang kerana mendapat sokongan daripada DAP, PKR dan
NGO-NGO penentang Kerajaan, kini dilihat sebagai satu ancaman dan bahaya
yang amat besar kepada kedudukan Mukhriz Mahathir sendiri.
Kemarahan kepada Mahathir, bukan seratus peratus kerana perbuatannya
menentang Najib. Ramai yang kecewa dan marah kerana Mahathir, Muhyiddin
Yassin, Mukhriz Mahathir, Shafie Apdal serta beberapa orang yang
mendapat manfaat besar daripada UMNO di bawah Najib, berada dalam satu
saf bersama-sama DAP dan PKR.
DAP dan PKR yang dikatakan sebagai pengancam keselamatan negara,
chauvinist dan segala imej hitam yang dibuat oleh Mahathir, tiba-tiba
menjadi sahabat sekongkol. Dan itulah yang menyebabkan kemarahan luar
biasa, yang barangkali langsung tidak dijangka oleh Mahathir dan
kumpulannya.
Jangkaan silap kerana ketiadaan atau kurangnya reaksi daripada
sebahagian besar penyokong UMNO dan Kerajaan, telah membuatkan Mahathir
dan kumpulannya tersalah sangka.
Kini, ada perubahan sikap di kalangan para pemimpin DAP dan PKR yang
jelas sebahagian besar daripada mereka tidak bersetuju persekongkolan
dengan Mahathir yang disifatkan sebagai zalim dan menjadi punca kepada
segala masalah di negara ini. Masing-masing mula mengungkit perbuatan
Mahathir sepanjang dia menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun.
Dengan tekanan daripada kumpulan baru, termasuk tekanan daripada UMNO
dan Barisan Nasional sendiri, yang menjadi mangsa kini adalah Mukhriz
Mahathir, Mahyuddin Yassin dan Shafie Apdal. Berbanding Mahyuddin dan
Shafie, kesan paling teruk dialami adalah Mukhriz Mahathir yang bakal
kehilangan segala-galanya, terutama sekali kerana pengaruhnya di Kedah
yang langsung tidak wujud kecuali di kalangan segelintir kecil yang
mendapat manfaat darinya.
Mahathir yang bijaksana, telah melakukan kesilapan terbesar.
Persekongkolan dengan Lim Kit Siang dan Anwar Ibrahim, tidak menjolok
turun Najib Abdul Razak, sebaliknya melianglahadkan dan ketukan paku
terakhir pada keranda politik Mukhriz Mahathir.
Melainkan Mukhriz Mahathir cepat-cepat menyeberang ke Pembangkang
terutama sekali DAP atau PKR bagi terus menghidupkan cita-cita bapanya
agar dia menjadi Perdana Menteri… itu pun kalau dia mampu mengalahkan
Nurul Izzah dan Lim Guan Eng yang lebih berpengalaman, lebih bijak
mendepani penyokong dan penentang serta isu-isu seputar mereka.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment