Friday, May 06, 2016
Isu Skandal Banglo : Guan Eng, Isteri Beri Keterangan Pada Jumaat – SPRM
GEORGE TOWN : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
akan mengambil keterangan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan
isteri Betty Chew pada Jumaat bagi membantu siasatan berhubung pembelian
banglo bernilai RM2.8 juta di Jalan Pinhorn dan penjualan tanah Taman
Manggis, Jalan Zainal Abidin di sini.
Pengarah Siasatan SPRM negeri Datuk Azam Baki berkata, Lim dan isteri
dijangka memberi keterangan di pejabat SPRM, Jalan Sultan Ahmad Shah,
di sini kira-kira pukul 9.30 pagi bagi melengkapkan siasatan kes
berkenaan.
“Lim
dan isteri akan dirakam percakapan di SPRM Pulau Pinang jam 9.30 pagi
esok,” katanya ketika dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp di sini pada
Khamis.
Beliau berkata sehingga kini 62 saksi telah dipanggil memberi keterangan berhubung perkara itu.
Sebelum ini beberapa pihak termasuk Pergerakan Wanita dan Pemuda Umno
PulauPinang membuat laporan kepada SPRM dan meminta pihak berkuasa
menyiasat pembelian banglo oleh Lim yang didakwa di bawah harga pasaran
dan urusan jual beli tanah Taman Manggis, Jalan Zainal Abidin di sini.
Pembelian banglo oleh ketua menteri Pulau Pinang itu menjadi
kontroversi apabila Anggota Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin
Yahaya membangkitkan isu itu pada persidangan Dewan Rakyat, Mac lepas.
Shabudin, yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang,
turut meminta Jabatan Penilaian dan Pembangunan Harta membuat penilaian
ke atas hartanah berkenaan.
Shabudin turut meminta SPRM menyiasat penjualan beberapa lot tanah di
Pulau Pinang yang dikatakan asalnya diperuntukkan untuk pembinaan rumah
Projek Perumahan Rakyat Termiskin.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment