Friday, May 06, 2016

Jangan Terpedaya Pembangkang Viral Dakyah Pada Saat Akhir – Najib

KUCHING : Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan pengundi Sarawak jangan terpedaya taktik pembangkang cuba mengelirukan mereka menjelang hari pengundian Sabtu ini.

Antaranya, kata perdana menteri, pembangkang mendakwa kadar GST akan dinaikkan selepas Barisan Nasional memenangi pilihan raya negeri Sarawak ke-11.
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEh7QYghSGkCIt8HlnNdZWcjOcNI2mqh-KZb49-pJMAi0TfE9n6OKc4JBHbVB-CuGxtduoDrjnzszgSG8Gq2N_-eivoA3U4ozcrQ6aYOSR3PGevbaTtGmNwwFQgQEvAw2u4oM2lNp23dr4HU/s1600/AdenanNajib.jpg
“Kita mesti berhati-hati dalam saat akhir (berkempen), isu-isu tertentu akan dilontarkan seperti mana yang berlaku dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 yang mana pembangkang viralkan bahawa kita import 40,000 pengundi dari Bangladesh untuk mengundi.

“Isu itu terlalu hangat pada ketika itu sehingga membuat orang marah dengan BN. Walhal, selepas pilihan raya, mereka sedar bahawa itu merupakan satu penipuan besar,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Kabinet persekutuan di Wisma Bapa Malaysia di sini.

“Jadi, saya nak mengingatkan pengundi-pengundi di Sarawak supaya berhati-hati. BN tidak akan berbuat demikian kerana ia taktik untuk menimbulkan kemarahan dan mengelirukan rakyat,” katanya.

Najib yang juga Pengerusi BN berkata pembangkang sentiasa mengamalkan perang psikologi mengelirukan pengundi pada setiap pilihan raya.

Beliau menyarankan pengundi agar membezakan apa yang boleh diterima dan dilaksanakan, dan bukan hanya sesuatu yang membakar sentimen dan perasaan rakyat supaya menghentam kerajaan.

“Mereka (pembangkang) sedar kalau tidak boleh meyakinkan pengundi, sekurang-kurangnya mereka mengelirukan mereka (pengundi). Itu adalah taktik perang psikologi parti pembangkang. Ini sudah terbukti dalam beberapa pilihan raya sebelum ini,” katanya.

Sambil menyifatkan dakwaan itu sebagai pembohongan untuk menimbulkan kemarahan rakyat, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata tidak ada dalam perbincangan langsung, sama ada di peringkat Kementerian Kewangan mahupun Jemaah menteri untuk menaikkan kadar GST dalam apa jua keadaan.

Najib berkata beliau sentiasa bersama Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem bagi memastikan kejayaan semua komponen BN Sarawak pada pilihan raya negeri ini.

“Jangan menganggap kemenangan dalam tangan. Kita mesti memastikan segala usaha dilakukan sedaya upaya. Insya-Allah BN akan mencapai kejayaan sekali lagi,” katanya.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment