Friday, May 06, 2016
Najib Harap Lawatan Ke Engkilili Akan Bawa Tanda Keramat Kemenangan BN
LUBOK ANTU : Datuk Seri Najib Tun Razak berharap lawatan
beliau ke kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Engkilili hari ini akan
membawa tuah dan mengulangi kemenangan Barisan Nasional di kawasan itu
dalam pilihan raya negeri ini nanti.
Katanya sebelum ini beliau pernah membuat lawatan ke kawasan ini dua
hari sebelum hari pengundian Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-10 yang
diadakan pada 2011.
“Hari ini secara kebetulan saya datang sekali lagi dua hari sebelum
pengundian dan saya berharap ini akan menjadi tanda keramat bahawa calon
Barisan Nasional (untuk N33 Engkilili), saudara Dr Johnichal Rayong
(Ngipa) akan menang dengan majoriti besar kali ini,” kata perdana
menteri ketika berucap pada majlis bersama rakyat di Rumah Panjang
Christopher Ningkan di Pais, Skrang di sini.
Untuk pilihan raya kali ini, Dr Johnichal Rayong ditentang calon PKR
Nicholas Bawin Anggat dan dua calon bebas, Adan Sandom dan Ridi Bauk.
Dalam pilihan raya negeri tahun 2011, beliau memenangi kerusi kawasan itu dengan majoriti 3,807 undi.
Najib berkata sebelum beliau, ayahandanya Allahyarham Tun Abdul Razak
Hussein juga pernah melawat kawasan Engkilili semasa menjadi Perdana
Menteri.
Katanya keprihatinan ayahandanya dan keinginan beliau (Najib) sendiri
untuk memberi perhatian khusus kepada Sarawak membuktikan perjuangan
panjang yang telah dilalui Barisan Nasional untuk memperjuangkan nasib
rakyat.
Melalui lawatan-lawatan yang telah dibuat sebelum ini, Najib berkata
beliau memahami harapan rakyat Sarawak yang mahukan pembangunan yang
lebih baik lagi.
“Saya tak pernah ‘lejuk’ (bahasa Melayu Sarawak untuk jemu). Saya tak
pernah jemu melawat Sarawak kerana saya ingin membantu Sarawak untuk
terus maju,” katanya.
Dalam majlis itu, beliau turut meluluskan permohonan untuk menaik
taraf Jalan Ulu Skrang yang menghubungkan 24 rumah panjang dan dua
sekolah di kawasan itu dengan Lebuhraya Pan-Borneo.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment