Friday, May 06, 2016

Penantian 35 Tahun Tanah Baharu Penduduk Kampung Api-Api Berakhir

http://www.umno-online.my/wp-content/uploads/2016/05/DSC_9890_SLIDER.jpg
MIRI : Penantian selama 35 tahun oleh 256 isi rumah yang mendiami kawasan setinggan di Kampung Api-Api, di sini berakhir apabila mereka menerima tawaran lot di bawah skim penempatan semula di Tudan Desaras hari ini.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kampung Api-Api, Rimban Mawang berkata pengurniaan petempatan baharu di kawasan Senadin itu amat bermakna buat penduduk yang sudah 35 tahun mengalami ketiadaan bekalan elektrik dan air yang sempurna. 

“Ia merupakan hadiah Hari Gawai yang sangat bermakna buat kami… Sudah lama kami menunggu berita gembira ini, dan akhirnya kami sudah dapat petempatan baharu dan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana prihatin terhadap kami,” katanya kepada Bernama hari ini. 

Rimban merupakan antara 492 wakil penduduk setinggan di sekitar Miri yang menerima surat tawaran jaminan hak ke atas tanah, yang disampaikan oleh Menteri Kemudahan Awam dan Menteri Pembangunan Industri Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan. 

Turut hadir calon Barisan Nasional(BN) bagi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 bagi Senadin Datuk Lee Kim Shin; Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Pujut, Datuk Hii King Chiong; dan Lambir, Ropin Lamat. 

Dalam majlis itu, seramai 104 wakil penduduk menerima surat hak milik individu Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri dan 373 penerima surat tawaran lesen pendudukan sementara (TOL).

Sementara itu lapan wakil ketua kaum menerimanya bagi tiga kawasan yang telah diwartakan sebagai Rizab Komunal Bumiputera iaitu kawasan Kampung Kuala Suai, Batang Baram serta Sungai Patah dan Kampung Long Batan, Baram dengan jumlah keluasan 608 hektar.

Tujuh lagi wakil ketua kaum dari kawasan Lusut, Ulu Sungai Dalam menerima surat tawaran tanah yang diwartakan di bawah Seksyen 7 Kanun Tanah Negeri sebagai Government (kampung) Reserve dengan jumlah keluasan 287 hektar dan tiga buah kampung setinggan menerima Skim Penempatan Semula Tudan Desaras iaitu Kampung Pasir, Kampung Api-Api dan Kampung Merikan. 

Menurut Jabatan Tanah dan Survei negeri, sehingga 31 Mac lepas di bawah inisiatif baharu Pengukuran Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) Fasa 1, sebanyak 1.1 juta hektar tanah telah diluluskan; 748,167 hektar diukur; dan 538,945 hektar telah diwartakan di seluruh negeri.

Sebanyak 3,114 surat hak milik individu tanah melibatkan 4,784 hektar tanah telah dikeluarkan bagi tempoh sama di bawah insiatif baharu NCR Fasa 2. 

Berucap pada majlis itu, Awang Tengah berkata isu tanah sememangnya menjadi keutamaan kerajaan negeri sejak dahulu dan penyerahan pelbagai jenis status tanah kepada penduduk di Miri hari ini adalah bukti teguh usaha kerajaan selama ini.

Beliau berkata langkah-langkah penyelesaian isu ini diperhebatkan lagi selepas Tan Sri Adenan Satem menjadi Ketua Menteri negeri.

“Dalam tempoh dua tahun ini sahaja, inilah perkara yang selalu diberi keutamaan dan sering kali Pengarah Tanah dan Survei dipanggil berjumpa dan diminta memberi penerangan.

“Dan kita kadang-kadang kalau dah dapat butir lengkap, kita putuskan segera. Inilah Adenan Satem, Ketua Menteri kita yang sentiasa fikirkan kepentingan rakyat,” katanya.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment