Monday, February 16, 2015

Ada Apa Dengan Anwar Ibrahim, Bekas Menteri dan Bekas Ketua Pengarang Media Arus Perdana?


WHOS_WHO 

7 Januari 2015 : Penulis tertarik kepada satu laporan portal berhubung dengan pendedahan tentang “latest move” oleh Anwar Ibrahim, iaitu “membeli” bekas menteri untuk jatuhkan UMNO serta bekas pengarang media arus perdana.

Bagi penulis, ini adalah kehebatan Anwar, yang mempunyai pelbagai strategi untuk menggapai cita-cita selaku Perdana Menteri “at all cost”. Tentunya Anwar sedar, bahawa teknik dan taktik yang digunakan era PRU13 diklasifikasikan sebagai gagal. Gerakan melalui NGO dan aktivis rakyat, tidak mampu menumbangkan kerajaan pimpinan Najib Razak.  

Maka, tidak hairanlah untuk dia mengorak langkah bagi pendekatan yang berbeza.

Kita masih ingat lagi, bagaimana idea 16 September mampu mengundang resah kepada lawan, apatah lagi dengan kemahirannya berpidato, sehingga mampu meyakinkan sesiapa yang mendengarnya. Laungan takbir dan reformasi bergema acapkali 16 September diucapkan. Namun, Allah jua yang berkuasa, sehingga ianya menjadi pembohongan terbesar Anwar ke atas para penyokongnya.

Pada hemat penulis, strategi terbaru Anwar ini adalah berdasarkan apa yang sedang berlaku. Umum mengetahuinya, bahawa kritikan-kritikan mantan Perdana Menteri,  Tun Mahathir tidak boleh dinafikan, menyebabkan imej Perdana Menteri Najib Razak terjejas. 

Oleh yang demikian, adalah tindakan bijak dari dari Anwar untuk “membeli” golongan yang dimaksudkan oleh portal berkenaan, dengan harapan ianya juga membawa impak yang sama seperti kritikan-kritikan dari Tun M.

Apatah lagi, sekiranya golongan tersebut pernah, satu ketika menjadi sebahagian dari kabinet dibawah pentadbiran Tun M. Ia adalah bonus kepada Anwar, secara tidak langsung menggunakan aura Tun untuk terus menyerang Najib Razak, yang penulis pasti, tujuan utamanya adalah untuk menggulingkan Perdana Menteri Malaysia yang ke 6 itu.

Dengan tidak menyertai Anwar dan PKR, golongan yang menjual maruah perjuangan ini dapat berselindung dan berpura-pura tidak mempunyai apa-apa pertalian dengan Anwar.
“Opportunists”; tipikal Anwar, yang semua orang faham.

Tanyalah Zahid Mat Arip, bagaimana Anwar menggunakan Tun Ghaffar dalam meraih cita-citanya at all cost? Tanyalah bekas-bekas pemimpin yang pernah dihampiri oleh Anwar. Apakah nama mereka tidak dijual dalam memburu sokongan?

Anwar tentu sudah tidak boleh menggunakan kaedah yang sama kerana Zahid Mat Arip, berjaya mendedahkan taktik itu. Taktik “tanam tebu di tepi bibir” oleh Anwar Ibrahim juga hampir reput, tanyalah Bung Mokhtar.

Dalam tersiksa batin memikirkan apa seterusnya, senario semasa memberinya ruang dan peluang untuk dimanipulasi. Laungannya tetap sama, iaitu reformasi; yang saban hari kita tatap sambil tersenyum lucu dari laman sosial Facebook Asrul Samad, pentegar Anwar Ibrahim.

Cuma, sedang bekas menteri dan ketua pengarang media arus perdana yang telah “dibeli” (seperti dakwaan portal berkenaan) memainkan peranannya,  para pemimpin UMNO perlu ingat, bahawa taktik Anwar yang paling berkesan ialah menyusup masuk ke parti lawan, sambil parasit-parasitnya mengeluarkan toksik yang akhirnya melumpuhkan sistem saraf parti berkenaan dari dalam.

Dengan itu, tanpa perlu Anwar menjadi waima ahli parti itu sekalipun, kuasanya sangat ditakuti dan ditaati.

Tentunya Januari adalah masa terbaik untuk mula mengorak langkah dengan strategi baru untuk menggulingkan Najib Razak, dengan mengoptimakan bilangan hari terbanyak dalam satu bulan; iaitu 51 hari. Kita tunggu apa yang bakal berlaku pada 10 Februari 2015.

Oleh : Ameen Latif

No comments:

Post a Comment