Wednesday, February 25, 2015
Ketua Polis Tak Gentar Diugut Bunuh
25 Februari 2015 : Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar
berkata beliau tidak gentar dengan ugutan bunuh yang diterimanya
daripada sekumpulan anak muda yang menggelarkan diri mereka sebagai
‘Anak Malaysia Anti Demokrasi’.
Khalid dalam kenyataan hari ini berkata ugutan itu langsung tidak
menakutkan beliau sebagai Ketua Polis Negara dalam melaksanakan tugas
yang telah diamanahkan dan menyifatkan ugutan seperti itu merupakan
lumrah seorang pegawai polis yang menjalankan tugas.
“Ekoran daripada beberapa klip video yang tersiar dalam laman sosial
yang memperkenalkan mereka sebagai kumpulan Anak Malaysia Anti Demokrasi
baru-baru ini, saya menyifatkannya sebagai satu tindakan yang tidak
bertanggungjawab oleh pihak berkenaan serta ingin memberikan satu
gambaran yang buruk terhadap sistem demokrasi berparlimen di negara ini.
Dalam video YouTube itu, sekumpulan individu menggelarkan diri mereka
“Anak Malaysia Anti Demokrasi” mengugut untuk membunuh Khalid dengan
meletupkan keretanya.
Video yang dikongsi oleh Facebook anti-Umno, “Ameno World”,
menunjukkan tiga lelaki berpakaian serba hitam dan menutup muka membuat
ugutan itu dengan latar belakang bendera Malaysia.
Individu dalam video itu berkata Amerika Syarikat, Rusia dan China
menjadi “maju dan dihormati kerana rakyatnya tidak memilih saluran
demokrasi untuk menjatuhkan petualang yang melindungi rejim yang korup”.
“Kami Anak Malaysia Anti Demokrasi mengumumkan akan membunuh ketua polis negara, meletupkan keretanya.
“Dengan itu, semua ketua agensi kerajaan akan takut melakukan
kesalahan menipu demokrasi kerana rakyat Malaysia akan bangkit memilih
jalan bukan demokrasi,” kata individu itu.
Buru bersama SKMM
Dalam kenyataannya hari ini, Khalid menyifatkan bahawa penyiaran video ugutan itu tidak bertanggungjawab.
Malah, katanya, ia menunjukkan bahawa kumpulan itu tidak mengenal erti sebenar sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini.
Khalid juga berkata pihaknya sedang bekerjasama dengan Suruhanjaya
Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk mengesan identiti pengugut itu.
“Saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas mengikut
peruntukan undang-undang yang sedia ada ke atas sesiapa sahaja yang
mengganggu gugat keamanan yang kita kecapi selama ini,” katanya.
Dipetik daripada sumber :
BERNAMA / Malaysiakini.com
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment