Monday, February 23, 2015
Giliran PAS Pula Halau DAP Keluar Dari PR
24 Februari 2015 : Baru sahaja beberapa hari lepas anggota CEC DAP
yang juga Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo mengancam akan
menjatuhkan talak tiga kepada PAS jika pembentangan usul hudud di Sidang
Khas DUN Kelantan diteruskan 18 Mac 2015 ini, kini giliran pemimpin
PAS, Datuk Takiyuddin Hassan pula mengeluarkan kenyataan menghalau DAP
keluar dari PR.
“Pakatan pembangkang bukan kepunyaan DAP, pakatan pembangkang tidak
ada ketua, kalau dia (DAP) tak setuju dia keluar dari Pakatan Rakyat,
kenapa suruh kita keluar dan dia tidak boleh keluarkan kita (PAS),” itu
antara petikan kenyataan Takiyuddin yang bunyinya garang semacam dah
hilang sabar dengan perangai besar kepala pemimpin DAP.
Tiba-tiba sahaja PAS ada telur tunjuk garang dengan DAP yang jadi
abang besar mendominasi kuasa dalam PR. Agak-agak berapa lama sikap
garang sebegini mampu PAS tonjolkan? Esok lusa, seminggu dua lagi
entah-entah bila nampak penyokong sendiri sudah reda sakit hati dengan
perangai DAP tak mustahil PAS tagih kembali kasih sayang pemimpin DAP.
Sebetulnya apa yang berlaku ini hanyalah sekadar kitaran semula
sejarah tahun lepas bila mana DAP dan PAS pernah saling menghalau
keluar. Kalau tahun ini kerjasama longgar pakatan pembangkang
yang dipanggil PR wujud lagi sepanjang tahun 2015 nescaya tahun depan
membawa ke tahun-tahun seterusnya sandiwara hambat menghambat keluar
akan berulang lagi. Tak bernoktahlah jawabnya.
Masing-masing cuba tunjuk keras menekankan perkataan ‘keluar’
macamlah konon-kononnya kewujudan Pakatan Rakyat atau PR itu sendiri sah
di sisi undang-undang pertubuhan. Dengan Pendaftar Pertubuhan (RoS)
nama PR langsung tak didaftarkan secara rasmi, macam mana DAP nak halau
PAS keluar dan PAS pula nak halau DAP keluar dari PR?
Itu kalau dikira dari sudut undang-undang pertubuhan RoS. Tapi benda
melibatkan undang-undang pertubuhan sedemikian, bukannya prioriti dalam
konteks kerjasama longgar antara DAP, PKR dan PAS. Mereka peduli apa
dengan undang-undang RoS itu semua. Yang penting bagi mereka PR itu
wujud secara halusinasi ikut kepala sendiri.
Wujudnya kerjasama yang dinamakan PR ini sebetulnya saling tak
tumpah ibarat pasangan bukan muhrim yang sudah bersekedudukan dalam satu
rumah dan bercengkerama memadu asrama selama bertahun-tahun tapi tak
pernah ada komitmen untuk bernikah dan hidup berkeluarga secara sah.
Jadi bila berlaku pergaduhan mulalah halau menghalau keluar dari rumah.
Demikianlah realiti hubungan atau kerjasama longgar seperti PR,
takkan bertahan lama sama seperti pasangan yang bersekedudukan. Tiada
ikatan kuat yang rasmi menghubungkan mereka. Masing-masing saling
mempergunakan antara satu sama lain untuk memenuhi hawa nafsu dan
kepentingan sendiri.
Dulu mereka dah bekerjasama dalam Barisan Alternatif (BA) diikuti
Barisan Rakyat (BR), semuanya hancur di tengah jalan. Bila raih sedikit
kejayaan dalam PRU-12 2008 mereka buat kerjasama longgar PR dan bila
raih kejayaan lebih besar dalam PRU-13 mereka mula kelabu mata dan buat
onar berpolitiking tikam menikam sama sendiri.
Begini punya tak berdisiplinnya DAP dan PAS dalam menggerakkan
kerjasama dalam PR, sanggupkah kita menumpang harap pada PR kalau
ditakdirkan mereka tubuh kerajaan di peringkat pusat kelak? Politiking
dalaman tak berhenti-henti, dari selepas PRU-12 membawa ke PRU-13, dah
selesai PRU sampai sekarang asyik 24 jam politiking. Gila punya
politikus haprak.
Jangan diharap PR mampu berkhidmat lebih baik dari BN yang memerintah
sekarang. Sekarang DAP, PKR dan PAS yang baru diberi sedikit nikmat
kuasa di peringkat negeri mereka sudah bercakaran haru biru tak keruan,
bergaduh siang malam, kalau diberikan peluang memerintah di peringkat
pusat lagilah bercelaru dibuatnya. Sanggupkah?
Disediakan oleh : EDITOR
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment