Monday, February 23, 2015
Talak Tiga DAP Kepada PAS Berkuatkuasa 18 Mac 2015, Siapa Percaya?
23 Februari 2015 : Akhir tahun lepas pemimpin DAP, Gobind Singh Deo
melakar sejarahnya yang tersendiri apabila kenyataan kerasnya yang
mengugut mahu menceraikan PAS dari pakatan pembangkang PR berjaya
menghalang PAS dari meneruskan pembentangan hukum hudud dalam Sidang
Khas DUN Kelantan.
24 Disember 2014 Gobind Singh gertak PAS, selang tiga hari kemudian
yakni pada 27 Disember tahun yang sama PAS tunduk mengalah setelah MB
Kelantan Datuk Mat Yakob mengumumkan penangguhan pembentangan hudud yang
sepatutnya dilangsungkan pada 29 Disember 2014.
Mat Yakob memberi alasan penangguhan Sidang Khas DUN Kelantan
berkenaan hudud disebabkan musibah banjir yang sedang memburuk ketika
itu. Alasannya berasas, namun hakikatnya penangguhan tersebut turut
membolehkan Gobind Singh mendabik dada ugutannya telah diambil perhatian
oleh PAS.
Pemimpin PAS termasuk Mat Yakob berhak menafikan hakikat itu dan
menganggap apa yang terjadi pada akhir tahun lalu hanyalah satu
kebetulan. Kebetulan yang menarik seakan Allah SWT sengaja nak
menonjolkan betapa taatnya PAS pada kekuasaan dan dominasi DAP dalam PR.
Itu kisah tahun lepas, sekarang ini pula selepas sebulan dua berlalu
sekali lagi pemimpin DAP yang sama yang juga anak kepada mendiang Karpal
Singh tampil dengan ugutan yang serupa juga berkaitan dengan isu hudud
yang mahu dibentangkan dalam Sidang Khas DUN Kelantan pada 18 Mac 2015.
Kata Gobind Singh, jika PAS berdegil meneruskan hasrat membentangkan
hudud dalam sidang khas tersebut maka ia secara automatik
berkuatkuasalah pada tarikh itu talak tiga DAP kepada PAS. Maksudnya PAS
disingkir keluar dari PR atas sebab perlaksanaan hudud bukannya
sebahagian dari dasar bersama PR.
Gobind Singh juga menegaskan pembentangan hudud adalah bertentangan
dengan keputusan yang dicapai pada mesyuarat Majlis Pimpinan PR
baru-baru ini. Mesyuarat yang mana? Berkemungkinan merujuk kepada
mesyuarat PR awal bulan ini yang sidang medianya diboikot oleh Presiden
PAS, Abdul Hadi Awang.
Lantas sekarang apa reaksi PAS menjelang tarikh akhir 18 Mac 2015,
tarikh penting yang akan menentukan samada hubungan DAP dan PAS dalam PR
berkekalan atau akhirnya PAS akan meraikan hari pembebasannya dari
terus dibelenggu dominasi DAP. Mana satu pilihan PAS?
Kalau dilihat pada kesungguhan pimpinan PAS dari golongan yang
diwar-warkan sebagai kumpulan ulama konon-kononnya yang masih berkeras
di masa yang sama begitu fokus nak melumpuhkan golongan Anwarinas dalam
parti itu sekarang ini nampak senarionya semacam PAS tidak kisah dengan
ugutan DAP.
Jatuh talak tiga ke, disingkir keluar dari PR ke, sepertinya PAS
sudah bersedia berpatang arang berkerat rotan dengan DAP dan PKR demi
nak mempertahankan prinsip perjuangannya. PAS didahulukan, PR
dikemudiankan. Secara luaran senarionya nampak begitulah. Siapa nak
percaya?
Adakah hakikatnya begitu? Jika kita tengokkan sejarah perangai flip-flop
PAS dalam isu kalimah Allah, arak di 7 Eleven, isu kandang babi, isu
rumah urut, isu MB Selangor dan Sister In islam serta macam-macam lagi,
jelas sekali tiada jaminan kali ini PAS tidak akan tunduk pada DAP
sekali lagi.
Bukan bermaksud penulis nak merendahkan taraf PAS yang dah
sememangnya hina dina diperlakukan DAP, tapi sejarah dah membuktikan
acap kali PAS hanya mampu berkeras bertahan untuk seketika tapi bila
waktunya PAS akan layu juga dengan gertakan yang disertai cumbu rayu
DAP. Itu hakikat.
Jadi bersandarkan hakikat itu, penulis tak fikir 18 Mac ini PAS
sanggup diceraikan DAP dengan talak tiga. Tak mustahil pembentangan
hudud ditangguhkan lagi dan pimpinan PR terus bersandiwara dengan
mesyuarat itu ini konon untuk cari titik pertemuan baru.
Kemungkinan lain, kalau pun PAS masih meneruskan pembentangan hudud
di Sidang Khas DUN Kelantan 18 Mac ini, yakinlah selepas itu PAS akan
terus tergedik-gedik menyembah DAP dan akan terus berusaha
mempertahankan kerjasama luar tabie mereka demi kepentingan
masing-masing.
Disediakan oleh : EDITOR
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment