Monday, February 23, 2015

Dulu PAS Seronok Berkawan Dengan Syaitan, Kenapa Kini PAS Merungut Sakan?

23 Februari 2015 : Semasa Multaqa Ulama PAS yang diadakan pada 21 Februari lepas banyak isu dalaman parti itu dibahaskan dengan kebanyakannya fokus kepada masalah yang ditimbulkan segolongan pimpinan PAS termasuklah dari NGO PasMa yang dituduh cuba mengganggu gugat kepimpinan Abdul Hadi Awang selaku Presiden parti.

NGO PasMa yang baru berusia lima bulan itu di serang bertali arus dan digelar dengan bermacam-macam label yang buruk. Mereka dipanggil pengkhianat, perosak parti, beras hampas dan barang rosak manakala pimpinan PAS yang bersekongkol dengan PasMa pula dituduh sebagai sudah gila.

Dan yang paling menarik bila mana seorang perwakilan Dewan Ulama PAS Kedah tanpa berselindung mengecam kewujudan golongan pengkhianat yang tidak taat atau wala’ pada kepimpinan PAS yang digelarnya sebagai syaitan dalam jemaah yang cuba memporak-perandakan parti dari dalam.
Dalam PAS Banyak Syaitan - Perwakilan Dewan Ulama PAS Kedah
Siapa sebenarnya syaitan dalam jemaah itu tidak pula dinyatakan secara terang dan jelas, tapi bila sebut sahaja pasal syaitan tak semena-mena fikiran penulis melayang teringatkan kenyataan yang diucapkan oleh bekas Mursyidul Am PAS, arwah Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 15 atau 16 tahun dulu.

“Jika DAP ikhlas nak tolong PAS, saya terima. Usahkan DAP, syaitan pun saya boleh terima,” itu kata-kata Nik Aziz yang diungkapkannya pada tanggal 23 Januari 1999 dulu. Cukup kontroversi kerana syaitan yang menjadi musuh hakiki anak Adam sanggup dijadikan sekutu.

Waktu itu PAS sedang seronok meraikan persahabatan dengan DAP dan KeADILan (kini PKR) melalui kerjasama dalam Barisan Alternatif (BA). Penyokong dan pemimpin PAS sedaya mungkin memberi pelbagai tafsiran semata-mata nak mengiakan kenyataan kontroversi Nik Aziz.

DAP yang sosialis sekular dianggap teman sebantal yang wajib disucikan, PKR yang liberalis sekular dianggap teman sehidup semati dunia dan akhirat. Semuanya kerana percaya seburuk-buruk perangai syaitan yang ada dalam DAP dan PKR tetap bermanfaat untuk menumbangkan UMNO & BN.

Itu dulu, sekarang lain pula penerimaan PAS dengan kehadiran sifat gelojoh menyerupai syaitan yang sedang merasuk sesetengah pemimpinnya yang berkiblatkan DAP dan PKR. Bahana pengaruh perangai syaitan, pandangan ulama PAS kini perlahan-lahan dibakul sampahkan.

Baru PAS tahu buruknya perangai syaitan boleh membawa kepada porak peranda dalam kepimpinan PAS. Segala taat setia dan wala’ yang diasuh sekian lama kini berubah gara-gara ramai pemimpin PAS yang melihat dasar PR lebih utama dipertahankan berbanding pandangan ulama PAS sendiri.

Dulu pemimpin PAS sendiri yang kata sedia bekerjasama dengan syaitan, sekarang baru sedikit perangai syaitan merasuki sesetengah pimpinannya terus golongan ulama PAS terloncat sakan dan merungut tak keruan. Baru dia tahu penangan bahaya kerasukan syaitan.

Salah siapa bila golongan ulama PAS cuba dipinggirkan? Siapa punya angkara yang membiarkan jarum-jarum halus berkiblatkan DAP dan PKR diberi muka menyelit dalam jemaah PAS untuk menentukan hala tuju parti? Jawapannya, PAS sendiri yang membenarkannya.

Jadi apa perlunya merungut sekarang? Syaitan yang sama dulu seronok diraikan maka sekarang terima sahajalah mereka seadanya, barulah dinamakan setiakawan. Tak gitu?

Disediakan oleh : EDITOR

No comments:

Post a Comment