Tuesday, February 17, 2015

Krisis MIC: Terpulang Kepada G. Palanivel – Ku Nan

KUALA LUMPUR, 17 Februari 2015 : Penubuhan Sekretariat Khas Barisan Nasional (BN) bagi membantu MIC menyelesaikan isu parti itu merupakan cadangan dan terpulang kepada MIC untuk terima atau tidak, kata Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Beliau berkata, tidak timbul isu bahawa BN mahu mengambil alih MIC kerana BN tidak berminat untuk mencampuri urusan parti itu.

“Kita hanya cadangkan, terserah kepada mereka…kerana kita hanya nak menyelesaikan masalah dan bukan nak campur tangan masalah MIC.

“Kami tidak berminat langsung untuk mengambil alih urusan MIC,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Lesen Premis kepada Pengusaha Hotel Bajet, di sini hari ini.

Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, sekiranya MIC tidak mahu menerima cadangan BN berhubung penubuhan sekretariat berkenaan, maka mereka perlu akur dengan keputusan yang diputuskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS). 

Semalam Utusan Malaysia melaporkan, Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel menolak cada­ngan yang dikemukakan oleh Barisan Nasional (BN) untuk menyelesaikan krisis parti itu dengan menubuhkan sekretariat khas bagi membantu MIC menjalankan pro­ses pemilihan baharu parti bermula April depan.

Sebaliknya, beliau berkata, MIC mempunyai perlembagaan dan undang-undang parti yang memboleh­kan ahli-ahli parti sendiri menjalankan pemilihan tanpa campur tangan mana-mana pihak ketiga.

“Saya masih lagi terkejut bagaimana Timbalan saya, Datuk Seri Dr.S. Subramaniam boleh ‘se­nang-senang’ bersetuju dengan cadangan memberi kebenaran kepada komponen BN seperti UMNO, MCA dan Gerakan supaya menjalankan pemilihan parti MIC.

Saya selaku Presiden parti menolak sekeras-kerasnya cadangan ini. Mungkin Subramaniam sanggup bertoleransi dengan perkara ini demi agenda beliau tetapi saya tidak akan sesekali berbuat demikian.

“Ini adalah parti kami, kami ada undang-undang dan perlembagaan sendiri, kami sendiri boleh jalankan pemilihan parti tanpa orang luar untuk mentadbir urus mahupun menjalankan pemilihan parti. Ini adalah satu penghinaan dan menjejaskan maruah serta integriti parti, saya tidak akan benarkan semua ini berlaku,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Palanivel mengulas cadangan yang dibentangkan oleh mesyuarat peringkat tinggi BN yang mahu menubuhkan sekretariat khas bagi membantu MIC membuat pembersihan semua cawangan, bahagian serta menjalankan proses pemilihan semula parti mengikut perlembagaan MIC.

Sekretariat itu dicadang ditubuhkan secepat mungkin dan akan dipengerusikan Setiausaha Kerja BN, Datuk Abu Khamis serta dianggotai parti komponen BN yang tidak berkaitan dengan kaum India seperti MCA dan Gerakan.

Krisis dalaman MIC tercetus selepas Pendaftar Pertubuhan (ROS) membatalkan pemilihan bagi jawatan tiga Naib Presiden dan 23 anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) dalam Perhimpunan Agung MIC di Melaka pada November 2013.

Disediakan oleh : EDITOR

No comments:

Post a Comment