Wednesday, February 11, 2015
Malaysia Lakar Sejarah
11 Februari 2015 : Malaysia melakar sejarah apabila Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Tun Razak dengan rasminya melancarkan model Indeks
Syariah Malaysia yang disifatkan sebagai indeks yang komprehensif dan
pertama seumpamanya di dunia.
Najib berkata, indeks tersebut merupakan satu kaedah pengukuran
saintifik yang menepati dua fungsi penting iaitu menilai keseriusan
usaha kerajaan dalam menepati piawaian Islam berkaitan dasar dan program
kerajaan.
Katanya, fungsi kedua pula untuk mengenal pasti ruang-ruang pembaikan
yang perlu diberi fokus oleh kerajaan supaya rakyat dapat menerima
lebih banyak manfaat hasil daripada penerapan nilai-nilai sejagat dalam
Islam.
“Jika status maju atau mundurnya sesebuah negara itu diukur
menggunakan Indeks Pembangunan Manusia maka adalah sangat perlu untuk
kita mempunyai satu kayu ukur yang objektif dan saintifik bagi
menentukan kedudukan kita dalam menjalankan pentadbiran berdasarkan
prinsip maqasid syariah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ketika berucap dalam majlis Perdana
Ulama Umara Bersama Perdana Menteri 2015 serta pelancaran model Indeks
Syariah Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di
sini hari ini.
Yang turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil
Khir Baharom; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa dan Ketua
Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha.
Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri berkata, terdapat
lapan bidang utama yang akan diukur menggunakan Indeks Syariah Malaysia
untuk peringkat permulaan iaitu perundangan, politik, ekonomi,
pendidikan, kesihatan, budaya, prasarana dan persekitaran serta sosial.
“Untuk setiap bidang ini, tahap penyempurnaan lima aspek dalam
maqasid syariah iaitu pemeliharaan agama, nyawa, akal, keturunan dan
harta akan diukur dan disemak sama ada dasar serta program yang
ditetapkan oleh kerajaan melalui kementerian atau agensi menepati atau
tidak dengan tuntutan maqasid syariah.
“Satu dasar itu mungkin patuh syariah tetapi tidak kurang pentingnya
cara mana dasar itu dilaksanakan dengan adil, cekap dan tepat pada
sasarannya supaya keindahan dan rahmat di sebalik maqasid syariah lebih
terserlah,” katanya.
Perdana Menteri turut menarik perhatian hadirin apabila menimbulkan
persoalan sama ada wajar atau tidak suatu program atau dasar itu hanya
dikatakan Islamik apabila wujud label Islam.
“Adakah sesuatu yang tidak dilabelkan jenama Islam, maka secara
automatik tidak Islamik? Adakah jika sesuatu itu dilabelkan sebagai
Islam maka ia benar-benar menepati kehendak Islam.
“Justeru, kebanyakan dasar dan program kerajaan tidak dilihat sebagai
menepati tuntutan Islam semata-mata kerana tidak dijenamakan Islam.
Yang dianggap sebagai menepati Islam bagi mereka adalah sekiranya ada
label atau jenama Islam,” katanya.
Memberikan contoh, Perdana Menteri melontarkan persoalan adakah
sekolah rendah kebangsaan yang tidak menggunakan label sebagai sekolah
rendah kebangsaan Islam dilihat tidak Islamik.
“Hakikatnya terdapat juga silibus seperti Jawi, Quran, Arab, dan
Fardu Ain (j-QAF) dan Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) yang sama
seperti diajar di sekolah rendah agama.
“Adakah Bank Rakyat kurang keislamannya berbanding Bank Islam hanya
kerana tidak dilabel dengan jenama Islam atau tidak menggunakan kalimah
Arab sedangkan seluruh sistemnya berteraskan prinsip kewangan dan
perbankan patuh syariah,” katanya.
Beliau berkata, sebagaimana bangganya dengan Bank Islam, demikian
juga negara berbangga dengan Bank Rakyat kerana institusi-institusi itu
mewakili aspirasi kerajaan yang menyasarkan Malaysia untuk menjadi hab
perbankan dan kewangan Islam dunia.
Selain itu, Perdana Menteri turut mengumumkan penubuhan Panel
Jawatankuasa Tadbir Urus Indeks Syariah Malaysia yang dipengerusikan
oleh Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Abd. Shukor Husin yang juga Pengerusi
Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan.
Dipetik daripada sumber : Utusan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment