Sunday, February 15, 2015
Kalau Nak Menang di Permatang Pauh, Bakul Sampahkan Skrip Lama
15 Februari 2015 : Empat kali kalah dalam empat pilihan raya umum
dan dua kali pada pilihan raya kecil (PRK). Maka kalau BN memang
bertekad memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh, `skrip lama’ perlu
dibuang.
Berkempen cara lama dengan poster dan ceramah berterabur serta melobi
melalui pusat daerah mengundi (PDM) mungkin perlu dilihat kembali
kesesuaiannya. Ini untuk membolehkan jentera BN meraih ‘semangat’
pengundi di situ.
Janganlah lagi kalah dengan strategi sama termasuklah mengumpulkan
sehingga ribuan orang, tetapi hasilnya tiada. Badan Perhubungan UMNO
negeri dan BN Pusat belajarlah dari pengalaman lepas, ubah strategi dan
gaya kempen yang bersesuaian keadaan setempat.
Berdasarkan daftar pemilih 72,000 orang yang direkodkan Suruhanjaya
Pilihan Raya (SPR) setakat Disember 2014 di Permatang Pauh, pengundi
Melayu meliputi 50,541 pengundi, Cina (17,849) dan India (4,123).
Keyakinan UMNO Bahagian Permatang Pauh ketika ini pun difahamkan
lebih baik berbanding ketika dua pilihan raya kecil di situ sebelum ini.
Antaranya ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim baru dilepaskan dari penjara
dan dicabar Arif Shah Omar Shah di Permatang Pauh pada 26 Ogos 2008.
Kini, semua jentera UMNO bahagian serta sayap Pemuda, Wanita dan Puteri di situ berada dalam satu pasukan.
Meskipun pakatan pembangkang dipercayai akan menggunakan skrip lama
cuba meraih simpati dengan meletakkan anak kedua Anwar, Nurul Nuha, 30,
sebagai calon kelak, BN tidak perlu terikut-ikut rentak itu.
Dalam memastikan pengundi Melayu terus memberi sokongan kepada UMNO
dan BN, sewajarnyalah `isu Anwar dipenjara’ ditutup terus. BN perlu
berdiri atas kekuatan sendiri melalui hasil gerak kerja efisien,
bukannya lagi bersandarkan `nasib Anwar’.
Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Said yang
baru setahun setengah menyandang jawatan itu menarik perhatian akan
gelagat pihak luar yang sering menjaja kisah-kisah Anwar sewaktu
berkempen dalam pilihan raya-pilihan raya lepas. Ini, tegasnya, tidak
harus diulangi dalam pilihan raya kecil kali ini.
“Masyarakat dah muak dengan cerita-cerita hubungan mereka dengan
Anwar dulu, seolah-olah mereka (tukang kempen untuk BN) ini `faham
benar’ sedangkan penduduk Permatang Pauh lebih tahu cerita luar dalam
Anwar. Kalau nak datang `berpesta nasib Anwar’, elok jangan ke sini.
“Sebaliknya UMNO perlu ketengahkan penceramah yang boleh membawa
gerak kerja dan ketanggungjawaban baharu,” katanya ketika dihubungi
Mingguan Malaysia di Pulau Pinang semalam.
Di Permatang Pauh hari ini tiada isu pembangunan. Dari segi sosio
ekonomi, boleh dikatakan kebanyakannya golongan pertengahan dan bukan
bawah paras kemiskinan.
Di DUN Seberang Jaya, pengundinya rata-rata daripada lapisan elit,
profesional serta berpendapatan tinggi. Golongan ini lebih terbuka
pendekatannya dan tidak perlu kempen yang beria-ia kerana mereka
dipercayai telah ada penilaian sendiri.
Kawasan DUN Penanti dan Permatang Pasir pula memiliki taburan pengundi Melayu yang hampir sama.
Namun, Mohd. Zaidi, 46, berpendapat, keputusan pengundi Cina boleh
menjadi indikator kepada BN iaitu sejauh mana penerimaan masyarakat itu
terhadap BN yang `telah banyak memberi’ kepada kaum berkenaan.
“Sebagai pemimpin Melayu, Perdana Menteri cukup adil dan sudah beri macam-macam kepada kaum Cina dan India.
“Maka kalau corak masyarakat Cina masih gagal menterjemahkan sokongan
kepada BN di Permatang Pauh, maka BN perlu bersedia dengan pilihan lain
dalam menghadapi pilihan raya umum ke-14,” katanya.
Setakat ini UMNO bahagian di situ tidak hadapi masalah untuk
berfungsi. Hubungan bahagian dengan pentadbiran sekolah-sekolah sekitar
termasuklah dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG)nya baik. Keputusan
peperiksaan UPSR, PMR dan SPM di Permatang Pauh pun lebih baik pada
2014 berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Pas sendiripun tidak akan ‘berpesta’ di Permatang Pauh. Apatah lagi
apabila Pengerusi Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) Pulau
Pinang sendiri adalah pengundi berdaftar Permatang Pauh.
Dipetik daripada sumber : Utusan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment