Monday, February 16, 2015
Anwar Hilang Kelayakan Sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh
Datuk Seri Anwar
Ibrahim hari ini lucut kelayakan sebagai seorang anggota Parlimen
berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara
lima tahun setelah menolak rayuannya terhadap sabitan dan hukuman
penjara itu bagi kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya tujuh
tahun lalu.
Ini adalah kali kedua, Anwar lucut kelayakan sebagai anggota Parlimen
setelah didapati bersalah oleh mahkamah dan dihukum penjara melebihi
setahun.
Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan menyatakan seseorang
anggota Parlimen boleh dilucutkan kelayakannya jika beliau dijatuhi
hukuman penjara lebih daripada setahun atau didenda lebih daripada
RM2,000.
Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan Anwar untuk mengenepikan
sabitan dan hukuman penjara lima tahun yang diputuskan Mahkamah Rayuan
pada 7 Mac tahun lepas terhadap sabitan meliwat Mohd Saiful Bukhari
Azlan, yang ketika itu berusia 23 tahun, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa
Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di sini antara 3.10
petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.
Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria, mengetuai panel lima anggota
terdiri daripada Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Shariff serta
hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri
Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramly Ali.
Sebelum ini pada 14 April 1999, Anwar didapati bersalah dan dihukum
penjara enam tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini atas empat tuduhan
rasuah terhadapnya.
Anwar, 67, dari Cherok Tok Kun, Bukit Mertajam, Pulau Pinang mula
bertanding kerusi Parlimen Permatang Pauh pada pilihan raya umum keenam
pada April 1982 atas tiket Barisan Nasional dengan mengalahkan calon PAS
Zabidi Ali dengan majoriti 14,352 undi.
Beliau telah mempertahankan kerusi itu sehingga dijatuhi hukuman
penjara pada 14 April 1999, dan kerusi tersebut dimenangi oleh isterinya
Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada pilihan raya umum ke-10 pada
November 1999.
Dr Wan Azizah telah terus mempertahankan kerusi itu sehingga meletak
jawatan pada 31 Julai 2008 bagi memberi laluan kepada Anwar untuk
bertanding kerusi itu dalam pilihan raya kecil kerusi Permatang Pauh
pada Ogos, 2008.
Anwar yang dibebaskan daripada penjara pada 2 Sept 2004, tidak
dibenarkan berpolitik selama lima tahun berkuat kuasa daripada tarikh
pembebasan.
Anwar memenangi semula kerusi itu dengan mengalahkan calon Barisan
Nasional Datuk Arif Shah Omar Shah dengan memenangi majoriti 15,671
undi.
Dipetik daripada — BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment