Wednesday, February 25, 2015

Pas Patut ‘Cermin Diri’, Bukannya DAP

26 Februari 2015 : Dulu pada 2001 apabila DAP keluar pakatan kerana tidak bersetuju dengan hudud Pas, bolehlah kerana DAP waktu itu tidak sekuat sekarang.

Ketika itu dalam pilihan raya umum (PRU) ke-10, 1999, prestasi Pas amat baik. Selain mengekalkan Kelantan, parti itu juga mengambil alih kerajaan Terengganu daripada Barisan Nasional (BN).

Kekuatan Pas di Parlimen bertambah hanya tujuh kerusi pada 1995 sehingga 27 kerusi (1999), iaitu melompat hampir empat kali ganda. Serupa juga pada peringkat negeri, kekuatannya bertambah hampir tiga kali ganda dari 33 kerusi sehingga 98 kerusi dalam pilihan raya umum itu.

Hasil keputusan itu, Pas mengambil alih kepimpinan pembangkang dalam Parlimen yang dipegang Lim Kit Siang dari DAP.

Pilihan raya umum 1999 itu tidak begitu baik untuk DAP. Walaupun parti itu berjaya mendapat satu kerusi lagi berbanding sembilan kerusi pada 1995, iaitu satu kenaikan 11 peratus, kedua-dua orang kuatnya, iaitu Kit Siang dan Karpal Singh (mendiang) ditewaskan.

Perikatan DAP dengan Pas waktu itu menjejaskan DAP sehingga kehilangan sokongan pengundi bukan Melayu. Malah, Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang muncul setelah Anwar Ibrahim dipecat daripada kerajaan dan UMNO menikmati permulaan yang baik dengan menang lima kerusi Parlimen dan empat kerusi negeri.

Dulu lain, sekarang lain. Kelmarin, Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Nasrudin Hasan mengeluarkan kenyataan yang Pas ‘mempersilakan’ DAP tinggalkan pakatan jika masih berkeras membantah hasrat Pas laksana hudud.

Cuma Nasrudin boleh perhatikanlah jumlah kerusi Parlimen dan negeri disandang Pas sekarang. Tidak perlu yang terkinilah, ambil sahaja sejak PRU-11, 2004.

Itu pun ketika DAP bertindak keluar Barisan Alternatif (BA) dan menjalankan kerja politik mereka sendirian tanpa Pas, PRM dan PKR, DAP masih meraih tambahan dua kerusi Parlimen pada 2004. BA pula kalah teruk, dengan BN kali pertama mencatat sejarah gemilang PRU.

Begitu juga DAP yang bergerak sendirian dalam PRU-12, 2008 masih menang banyak kerusi iaitu 28 berban­ding Pas (24), dengan PKR terbanyak, 31 kerusi.

Pada PRU-13, Mei 2013, Pas kekal tidak berubah di tangga ketiga dengan sekadar meraih 21 kerusi, berbanding ‘ketua’ pakatan, DAP (38) dan PKR (30).

Pas dulu pun iaitu pada 1986 pernah bercita-cita besar untuk menerajui negara dengan membentuk gabungan pembangkang dikenali Harakah Keadilan Rakyat (HAK) dengan parti kecil. Tetapi DAP enggan menyertai gabungan itu. Pas bertan­ding dalam 98 daripada jumlah 177 kawasan Parlimen, tetapi parti itu cuma menang satu kerusi, Pengkalan Chepa.

Malah, seramai 21 calon Parlimen dan 42 calon DUN Pas gagal mendapat 1/8 undi sah dan kehilangan wang deposit, berjumlah RM231,000 – satu angka besar sa­ngat untuk tiga dekad sebelum itu.

Nasrudin juga perlu akui bahawa PKRlah rakan kongsi paling dipercayai DAP berbanding partinya.

Sehari selepas keputusan PRU-13, Kit Siang yang juga penasihat DAP dikatakan mencalonkan Anwar (Penasihat PKR) menjadi ketua pembangkang di Parlimen meskipun PKR mendapat kerusi yang kurang berbanding dengan DAP.

Pas sebenarnya tidak kuat bersama pakatan rakyat (PR). PRU-13 membuktikan Pas hilang Kedah, kalah di Perak, malah jumlah kerusi Pas berkurang satu kerusi parlimen.

Undi Melayu kepada Pas, ter­utama di Perak, Kedah, Negeri Sembilan dan utara Selangor, turut berkurangan. Pas kalah dengan UMNO pun kerana undi Melayu.

Majoriti orang Melayu kelihatan inginkan Pas keluar pakatan.

Kerana apa? Kerana mereka melihat Pas sudah hilang jati diri apabila ‘dipijak-pijak’ oleh PKR dan DAP. Hanya sekadar pak turut kepada parti berlambang mata dan parti berlambang roket.

Adakah Pas yang akan mengikut jejak DAP pada 21 September 2001, meninggalkan BA (kini pakatan) dan berjalan dengan kaki sendiri?

Dipetik daripada sumber : Utusan

No comments:

Post a Comment