Monday, February 23, 2015
Anwar Hilang Kelayakan, PRK Permatang Pauh Hampir Pasti
24 Februari 2015 : Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim secara
automatik hilang kelayakan sebagai anggota parlimen mulai hari ini,
berikutan parti itu tetap dengan keputusan untuk tidak memohon
pengampunan Diraja bagi pembebasannya.
Perkembangan terbaharu itu memberi isyarat jelas bahawa pilihan raya
kecil Permatang Pauh hampir pasti diadakan kerana kerusi Parlimen
Permatang Pauh yang disandang Anwar mungkin diisytiharkan “secara rasmi
kosong” tidak lama lagi.
Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli memberitahu media hari ini bahawa
PKR tidak akan memohon pengampunan Diraja bagi pembebasan Anwar, sambil
menambah bahawa tiada arahan daripada ketua pembangkang itu untuk
berbuat demikian.
Semalam adalah hari terakhir bagi Anwar untuk mengemukakan permohonan
bagi pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim
Mu’adzam Shah.
Penyandang kerusi Permatang Pauh itu mempunyai tempoh 14 hari bermula
dari tarikh dia disabitkan kesalahan dan dihukum penjara kerana
meliwat, untuk memfailkan petisyen bagi pengampunan tetapi setakat ini,
Anwar tidak mengambil apa-apa langkah ke arah itu.
Mahkamah Persekutuan pada 10 Feb lepas, menolak rayuan Anwar terhadap
sabitan dan hukuman penjara kerana meliwat bekas pembantunya, Saiful
Bahari Azlan pada 2008, dan mengekalkan hukuman penjara lima tahun.
Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia sebelum ini, berkata
pihaknya hanya akan memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)
mengenai kekosongan kerusi parlimen Permatang Pauh, sebaik sahaja tempoh
Anwar hilang kelayakan sebagai anggota parlimen berkuat kuasa.
Di bawah Fasal 4 Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan, Anwar hilang
kelayakan sebagai anggota parlimen hanya berkuat kuasa selepas 14 hari
dari tarikh dia disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman, iaitu esok.
Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya Pusat PKR Datuk Saifuddin
Nasution Ismail ketika dihubungi menyifatkan pengumuman Rafizi itu
isyarat jelas kepada jentera parti untuk turun padang dan bekerja lebih
keras bagi memastikan kemenangan parti berkenaan di kawasan tersebut.
Katanya ini kali keenam PKR bertanding di Permatang Pauh sejak
pilihan raya umum 1999 apabila presiden parti Datuk Seri Wan Azizah Wan
Ismail, memenangi kerusi tersebut, selain beberapa pilihan raya kecil
bagi kerusi dewan undangan negeri di kawasan parlimen berkenaan.
“Jentera parti sentiasa bersiap sedia sepanjang masa dan kita akan
mula berkampung minggu ini,” katanya, yang menolak desas-desus bakal
menjadi calon parti itu bagi pilihan raya kecil tersebut.
Dipetik daripada sumber : Bernama
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment