Monday, February 16, 2015

Saya bukan ‘cabut’ – Tun Arifin

17 Februari 2015 : “Saya bukan ‘cabut’, saya tangguhkan perbicaraan untuk ‘menyejukkan’ suasana’,’’ demikian penjelasan Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria ketika mengulas tindakan panel lima hakim Mahkamah Persekutuan ‘meninggalkan’ sidang seketika sewaktu mendengar rayuan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim, minggu lalu.

Arifin menyatakan, beliau mengambil pendekatan mudah iaitu menangguhkan panel yang sedang dipengerusikannya jika berlaku situasi atau perkara yang tidak sepatutnya.

Ketika ditanya sama ada beliau berasa hati terhadap kata-kata Anwar sewaktu mengemukakan rayuan meringankan hukuman, Ketua Hakim Negara menjelaskan bahawa beliau tidak mendengar apa yang diucapkan oleh Ketua Pembangkang itu.

“Saya tidak mendengarnya. Saya melaksanakan tugas dengan ikhlas tanpa bersikap peribadi kepada sesiapa,’’ ujar beliau kepada pemberita di Istana Kehakiman hari ini.

Walau bagaimanapun, Arifin enggan mengulas ketika ditanya sama ada mahkamah akan mengenakan prosiding menghina mahkamah (komital) terhadap Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berhubung insiden berkenaan.

Ketua Hakim Negara ditanya pendiriannya berhubung insiden Anwar menyelar institusi kehakiman yang didakwanya sebagai ‘rakan subahat’ yang membunuh kebebasan kehakiman dan integriti.

Ketua Pembangkang itu dalam prosiding rayuan kes liwatnya pada 10 Februari lalu mendakwa panel tersebut telah ‘menjual’ jiwa mereka kepada syaitan sebagai tukaran dalam mendapatkan pulangan dan kedudukan.

Tindakan Anwar itu menyebabkan Ketua Hakim Negara menegur dan bertanyakan mengenai apa re­levannya kata-kata beliau de­ngan rayuan yang dikemukakan bagi mengurangkan hukuman.

Pada ketika itu, Anwar masih meneruskan ‘rayuannya’ tanpa menghiraukan teguran panel tersebut menyebabkan mahkamah ditangguhkan seketika bagi membuat keputusan mengenai tempoh hukuman penjara.

Anwar kini menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh atas kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, hampir tujuh tahun lalu.

Arifin ditemui pemberita selepas upacara angkat sumpah jawatan dan taat setia hakim Mahkamah Persekutuan, hakim Mahkamah Ra­yuan dan hakim Mahkamah Tinggi hari ini.

Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Zaharah Ibrahim dinaikkan pangkat sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan manakala Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Zamani A. Rahim sebagai Hakim Mahkamah Rayuan.

Dua pesuruhjaya kehakiman, Vazeer Alam Mydin Meera dan Datuk Douglas Cristo Primus Sikayun dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi.

Sementara itu, dalam ucapannya, Arifin menyatakan, mahkamah memandang serius sebarang tindakan yang boleh mencemar maruah dan integriti badan kehakiman dan tidak teragak-agak mengambil tindakan sewajarnya.

Ketua Hakim Negara itu menyatakan, badan kehakiman bersikap terbuka menerima kritikan namun kecaman dan tuduhan tidak berasas boleh melumpuhkan sistem pentadbiran keadilan dan menghakis kepercayaan masyarakat.

Beliau turut berpandangan, selaras dengan kemajuan teknologi komunikasi, semakin ramai pihak yang mengemukakan buah fikiran berbentuk kritikan dan sindiran tanpa rasa malu dan bersalah.

“Badan kehakiman juga tidak terkecuali daripada menerima kritikan dan tuduhan-tuduhan yang tidak berasas yang dilemparkan melalui laman sosial,’’ ujar beliau.

Ironinya, kata beliau, perbuatan itu seolah-olah dihalalkan apabila kenyataan di laman-laman sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan Youtube mendapat jumlah pengikut yang kian bertambah walaupun kritikan itu tiada sebarang justifikasi.

Dipetik daripada sumber : Utusan

No comments:

Post a Comment