Tuesday, February 17, 2015
PBT Jangan Pandai Keluar Lesen
17 Februari 2015 : Itu peringatan sinis Pengarah Jabatan Siasatan
Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh kepada PBT di seluruh
negara sewaktu diminta reaksinya berhubung isu mesin judi haram yang
tidak berkesudahan sejak sekian lama.
Seakan-akan meluahkan kekecewaan, Mohamad Salleh berkata, tugas untuk
membanteras kegiatan tidak bermoral itu hakikatnya tidak dipikul oleh
polis semata-mata seperti anggapan banyak pihak.
“Saya tahu lesen itu mustahak untuk PBT mendapatkan cukai. Tetapi
dalam masa sama, PBT perlu juga berperanan untuk memeriksa dan menyerbu
lokasi yang menjalankan kegiatan itu kerana mereka sendiri ada penguat
kuasa.
“Saya fikir kalau kami (polis dan PBT) bekerjasama dengan lebih baik
serta bertukar-tukar maklumat, insya-Allah perkara ini dapat dihapuskan
100 peratus. Dan saya juga percaya, jika pusat hiburan keluarga tidak
diberikan lesen, masalah ini dapat diselesaikan,” katanya dalam sidang
akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda, di sini hari ini.
Hadir sama timbalannya, Datuk Mazlan Mansor; Komander Pasukan
Tindakan Khas Anti Maksiat, Perjudian dan Gengsterisme (Stagg), Datuk
Rodwan Mohd. Yusof serta Timbalan Komander Stagg, SAC Khairi Ahrasa.
Utusan Malaysia dalam laporan khasnya sebelum ini mendedahkan
kegiatan mesin judi haram sudah kembali beroperasi di beberapa negeri
sehingga menampakkan seolah-olah pengusahanya tidak gentar dengan
‘perang’ yang diisytiharkan polis sejak Oktober lalu.
Ditanya berhubung dakwaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengenai
kewujudan tangan ghaib serta komplot mengenai kegiatan itu, Mohmad
‘menjemput’ mana-mana pihak yang mempunyai pengetahuan dalam perkara itu
supaya bertemunya sendiri bagi menyampaikan maklumat.
“Tentang tangan ghaib itu, saya tak tahulah. Tetapi kalau sesiapa
yang tahu mengenainya, datang kepada kami dan beritahu siapa mereka agar
kami boleh ambil tindakan. Tidak guna kita tuding jari secara umum,
susah hendak buat kerja. “Kalau rasa maklumat itu akan bocor, boleh
datang terus kepada saya atau Timbalan (Mazlan Mansor). Tak kira sama
ada orang media atau sesiapa saja, datang saja kepada kami dan ceritakan
secara spesifik siapa orangnya untuk kami siasat,” katanya.
Mohmad dalam pada itu turut menafikan dakwaan mengatakan
undang-undang sedia ada tidak mencukupi untuk memerangi tauke-tauke judi
terlibat.
“Saya fikir undang-undang sedia ada memadai kerana selain daripada
dituduh di mahkamah terbuka, kita juga ada undang-undang pencegahan
seperti Akta Pencegahan Jenayah (POCA) (Pindaan dan Pemerluasan) 2014
dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan
Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) atau AMLA.
“Apa pun bagi saya semua pihak perlu membantu menyalurkan maklumat
kepada kami agar tindakan boleh diambil. Sebagai pengarah JSJ, saya
memegang kepada prinsip bahawa aktiviti perjudian secara haram ini perlu
dibanteras secara total,” katanya.
Difahamkan sejak Januari lalu, seramai 13 individu sudah diambil
tindakan di bawah POCA pada tahun ini berbanding hanya 14 individu
dikenakan tindakan sama sepanjang tahun lalu.
Dipetik daripada : mykmu. net
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment