Wednesday, February 11, 2015
Kes Liwat Anwar Bukan Cerita Politik
11 Februari 2015 : Kes Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim
meliwat bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan bukanlah cerita
mengenai politik tetapi mengenai cerita manusia dan perspektif badan
kehakiman.
Peguam kanan pasukan pendakwaan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah
berkata, semua ini adalah cerita tentang semua manusia tanpa mengira
kuasa, mereka adalah sama rata di sisi undang-undang.
“Kita semua mempunyai tanggungjawab kepada mangsa, lelaki muda yang
merupakan pembantu peribadi Anwar, yang mendapat perhatian dalam negara
dan antarabangsa disebabkan kesilapan yang bukan dilakukan olehnya.
“Sepertimana kesemua mangsa jenayah berat, beliau mempunyai hak untuk
melihat aduannya disiasat dengan teratur oleh pihak polis dan
mahkamah,” katanya ketika membacakan kenyataan pihak pendakwaan dalam
sidang media di luar Mahkamah Persekutuan di sini.
Anwar hari ini gagal dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan
terhadap sabitannya meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful
dan mahkamah turut mengekalkan hukuman penjara lima tahun yang dijatuhi
Mahkamah Rayuan.
Keputusan itu dibuat oleh lima anggota panel hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria.
Muhammad Shafee turut meminta pihak media melihat kepada fakta kes
dengan adil, menganalisis penghakiman dengan teliti serta menjalankan
perkara ini dengan sebaik mungkin demi masyarakat.
“Saya risau dengan segelintir pihak media yang menganggap mahkamah di
Malaysia bertindak dengan adil hanya apabila keputusan mahkamah memihak
kepada Anwar Ibrahim dan mendakwa sistem kehakiman kita telah
dikompromi apabila mahkamah memberikan keputusan yang sebaliknya,”
katanya.
Muhammad Shafee yang berpuas hati dengan keputusan hari ini
bagaimanapun berkata: “Ia tidak memberikan saya kegembiraan –
kehidupan seorang pemuda telah dimusnahkan, berubah selama-lamanya.
“Lebih buruk lagi, tanpa berselindung, mangsa berhadapan dengan sesi
pemeriksaan balas selama tujuh hari dan kesemua pasukan penguam bela
Anwar Ibrahim boleh menyoal balas beliau,” katanya dengan menambah,
yang proses keadilan telah memburukkan lagi penderitaan Mohd. Saiful.
Muhammad Shafee yang dilantik sebagai ketua pendakwaan pada
peringkat Mahkamah Rayuan sehingga ke peringkat rayuan di Mahkamah
Persekutuan berkata, manakala Anwar enggan berdepan dengan pemeriksaan
balas dan memilih hanya memberi secebis kenyataan dari kandang
tertuduh.
Beliau menganggap tugas tersebut sebagai suatu yang sangat sukar
kerana apa yang menjadi kebiasaan bagi suatu kes biasa serangan seksual
oleh majikan terhadap pekerjanya telah digunakan sebagai medan untuk
menyerang reputasi badan kehakiman.
“Jadi saya menyeru kepada semua yang berfikiran adil di Malaysia dan
di luar negara untuk mempertimbangkan dengan teliti sebelum membuat
sebarang pendapat, dan untuk meneliti semula keterangan sebenar di dalam
kes ini,” katanya.
Beliau berkata, setiap penghakiman yang dibuat berdasarkan fakta dan
contohnya keterangan DNA, yang Malaysia mempunyai dua ciri utama dalam
aspek penyiasatan DNA iaitu pertama, memerlukan 16 bacaan yang sepadan
dan kedua tiada perundangan di negara ini yang mewajibkan seseorang
untuk memberikan sampel DNA.
“Tiada negara yang menuntut keperluan yang lebih tinggi. United
Kingdom dan Amerika Syarikat membenarkan keperluan bacaan yang lebih
rendah. Kesemua bacaan DNA yang menyokong kes ini adalah berpadanan
dengan bacaan 16 daripada 16 iaitu dalam erti kata lain ia padanan
sempurna.
“Dan kesemua DNA adalah didapati daripada ‘semen’, yang mana lebih
dipercayai berbanding DNA yang didapati daripada peluh. Anda tidak boleh
curi, palsukan atau mencemarkannya,” kata beliau.
Muhammad Shafee berkata, apabila Anwar mencabar sampel pihak
pendakwaan di mahkamah, beliau mempunyai peluang untuk menawarkan sampel
beliau sendiri sebagai suatu keterangan.
“Jika benar beliau tidak bersalah, beliau boleh berbuat demikian dan
menutup kes ini serta-merta. Namun beliau memilih untuk tidak berbuat
apa-apa,” katanya.
Selain itu, tambah beliau, notis alibi Anwar yang pada mulanya
merupakan suatu notis yang menyeluruh dan telah dibuktikan palsu melalui
rakaman CCTV yang ditayangkan kepada mahkamah, dan ini telah
dibuktikan lama dahulu.
Selain itu, katanya, Anwar enggan bersumpah dengan al-Quran mengenai
kejadian tersebut, sementara Mohd. Saiful telah bersumpah dengan
al-Quran mengenai butir kejadian itu di Malaysia dan juga di Mekah yang
merupakan tanah suci Islam.
“Kes seperti ini di mahkamah tertinggi di Malaysia adalah terlalu
teknikal. Dalam proses undang-undang sedia ada dan dalam aspek
keterangan, terdapatkah kemungkinan di mana proses sewajarnya tidak
diikuti? Terdapatkah sebarang teknikaliti?
“Pada hari ini, jawapan daripada hakim-hakim adalah tidak. Pada hari
ini, mereka memutuskan pada keputusan yang telah dibuat serta keterangan
yang telah lama diuji dan dibentangkan,” katanya.
Muhammad Shafee berkata, tuduhan besar yang sering diulang Anwar
adalah kes ini mempunyai motif politik, namun berdasarkan keputusan hari
ini tuduhan tersebut adalah palsu.
“Tiada sesiapa pun yang boleh menetapkan, mengolah dan memutar belit
suatu proses perundangan yang mantap dan menyeluruh, termasuk keputusan
yang memihak kepada Anwar. Tindakan bermotifkan politik di sini hanyalah
Anwar dan penyokongnya yang menuntut agar kes ini digugurkan,” katanya.
Dipetik daripada sumber – BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment