Perdana Menteri berucap demikian ketika merasmikan majlis peletakan batu asas Hospital Pakar Minor Sri Aman di sini, Jumaat.
Friday, February 27, 2015
Bayaran Kesihatan Di Malaysia Termurah Di Dunia – Najib
Sri Aman, 27 Februari 2015 : Hospital dan klinik kerajaan
di Malaysia menggenakan bayaran perubatan dan kesihatan yang termurah di
dunia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata kerajaan bukan sahaja membelanjakan wang yang besar
untuk menyediakan kemudahan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat, malah
menggenakan bayaran terendah di dunia kepada pelanggan.
“Apabila menjadi pesakit luar dan berjumpa dengan doktor, pelanggan
hanya perlu membayar RM1 manakala bayaran RM5 dikenakan jika berjumpa
dengan doktor pakar. Ubat-ubatan pula diberi secara percuma.
“Tidak ada sistem kesihatan lain di dunia yang menggenakan bayaran
yang sebegini rendah. Secara keseluruhannya, subsidi kesihatan di
Malaysia mencecah 98 peratus, maknanya 98 peratus kos kesihatan bagi
setiap pesakit ditanggung oleh kerajaan, cuma satu atau dua peratus
sahaja dikenakan bayaran,” katanya.
Perdana Menteri berucap demikian ketika merasmikan majlis peletakan batu asas Hospital Pakar Minor Sri Aman di sini, Jumaat.
“Ini menunjukkan bahawa sistem kesihatan di Malaysia adalah antara
yang terbaik di dunia. Malah, kalau kita buat analisis antara kos dan
perkhidmatan yang disediakan, saya berani mengatakan sistem kesihatan di
Malaysia adalah yang terbaik di dunia,” katanya.
Menurut Najib, Malaysia disenaraikan sebagai ketiga terbaik daripada 24 negara di dunia dalam penyediaan kemudahan kesihatan.
Sementara itu, Najib berkata pembinaan hospital baharu Sri Aman yang
dijangka siap pada 2018 sekali lagi membuktikan kerajaan menepati
janjinya kepada rakyat.
Katanya, sejumlah RM12 juta dibelanjakan untuk memperoleh tapak dan
kerja pembersihan tapak serta anggaran RM150 juta untuk pembinaan
struktur bangunan hospital berkenaan.
Beliau berkata, apabila siap kelak hospital baharu itu akan
dilengkapi dengan 108 katil dan menyediakan pelbagai kemudahan rawatan
pakar seperti bilik pembedahan, hemodalisis, radioterapi sekali gus
merupakan lonjakan daripada segi perkhidmatan kesihatan kepada penduduk
di kawasan Sri Aman.
“Ini merupakan bukti usaha kerajaan terus membela nasib rakyat dan
memberi keutamaan yang tinggi sekalipun di kawasan luar bandar.
“Pembinaan hospital dan klinik termasuk Klinik 1Malaysia, kemudahan
pendidikan dan sebagainya akan terus dilaksanakan oleh kerajaan
persekutuan dengan kerjasama kerajaan Sarawak.
“Memang masih ada kekurangan, saya tidak nafikan dan banyak cabaran
tetapi kita tetap akan memberi dengan membina hospital tambahan dan
baharu serta dilengkapi dengan doktor-doktor pakar,” katanya.
Menurut Najib, disebabkan usaha memujuk doktor-doktor pakar untuk
berkhidmat di hospital luar bandar di negeri ini merupakan cabaran yang
amat besar, justeru kerajaan akan menyediakan insentif khas kepada
mereka.
“Perkara ini sedang kita fikirkan kerana kita mahu hospital-hospital
disediakan dengan doktor-doktor pakar yang diperlukan,” katanya.
Pada majlis itu Perdana Menteri turut menyampaikan wang ihsan kepada
18 mangsa banjir dari Rumah Lembu, Entulang, Skrang Engkilili dan Nanga
Tebat, Sri Aman.
Dipetik daripada sumber : BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment