Thursday, February 26, 2015

Menjamin Keharmonian Konsep Persekutuan

26 Februari 2015 : Tatkala Tanah Melayu mahu mencapai kemerdekaan, konsep kenegaraan yang mahu diambil adalah bersifat persekutuan dengan bermotokan ‘Bersekutu Bertambah Mutu’. Perkara ini diperkukuhkan lagi apabila Sabah dan Sarawak membentuk Malaysia dengan di mana terdapat peruntukan khas diberikan kepada Sabah dan Sarawak.

Dalam sesebuah negara persekutuan ciri utamanya ialah terdapat taburan kuasa perundangan antara Persekutuan dan Wilayah-Wilayah di dalamnya. Ini bermakna ada dua badan perundangan yang mempunyai kuasa membuat undang-undang iaitu Persekutuan dan Wilayah-Wilayah.

Dalam konteks Persekutuan Tanah Melayu atau kini Malaysia, kuasa perundangan ini diberikan kepada Persekutuan (melalui Parlimen) dan Negeri-Negeri (melalui Dewan-Dewan Undangan Negeri). Secara umumnya, bagi memastikan tiada pertelingkahan antara pembuat-pembuat undang-undang ini, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan telah menggariskan bidang perundangan masing-masing.

Terdapat tiga senarai di dalam Jadual Kesembilan tersebut iaitu Senarai I (Kuasa Persekutuan) Senarai II (Kuasa Negeri) dan Senarai III (Kuasa Bersama). Taburan kuasa seperti ini perlu di dalam mana-mana negara yang mengamalkan prinsip federalisme seperti Malaysia, Australia dan Amerika Syarikat.

Bagi memudahkan pemahaman awam, lebih mudah dikatakan bahawa Parlimen mempunyai kuasa membuat undang-undang yang disenaraikan dalam Senarai I dan III manakala Dewan-Dewan Undang Negeri masing-masing mempunyai kuasa membuat undang-undang yang tersenarai di dalam Senarai II dan III. Namun, terdapat beberapa pengecualian yang dibenarkan Perlembagaan Persekutuan untuk tidak terikat secara harfiah senarai butiran yang ada tersebut.

Sebagai contoh kuasa mengenai perbankan adalah disenaraikan di dalam Senarai I, dalam hal yang demikian Dewan Undangan Negeri tidak boleh membuat undang-undang berkaitan dengan perbankan. Begitu juga dalam hal ehwal Islam, melainkan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan, ia terletak di dalam bidang kuasa negeri. Oleh itu Kerajaan Persekutuan tidak boleh mengganggu kuasa Dewan Undangan Negeri ini, apatah lagi setiap negeri mempunyai ketua agama Islamnya sendiri iaitu Sultan ataupun Yang Di Pertuan Agong.

Dalam hal ini jika Kerajaan Persekutuan mencampuri hal ehwal agama Islam atau meletakkan syarat pemakaian undang-undang Islam sebagaimana yang disenaraikan di dalam Senarai II ia mempunyai risiko bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Oleh itu, Kerajaan Persekutuan dan segala agensi di bawahnya tidak boleh melangkaui bidang kuasa yang diberikan kepada mereka begitu juga sebaliknya.

KURANG DIHAYATI

Kebelakangan ini penulis dapat merasakan konsep federalisme ini amat kurang dihayati yang menjurus kepada ketidakprihatinan kepada pematuhan senarai-senarai yang diwujudkan di dalam Jadual kesembilan Perlembagaan Persekutuan tersebut. Acapkali kita dengar, sama ada di peringkat ahli politik ataupun agensi kerajaan yang menyarankan perkara-perkara bukan di bawah kuasa perundangan mereka.

Penulis merasakan amat perlu bagi golongan ini melihat dan memperhalusi senarai-senarai yang wujud di dalam jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan itu bagi menjamin keharmonian konsep federalisme ini. Kegagalan mematuhi Jadual kesembilan tersebut mungkin akan menyebabkan sesuatu undang-undang atau tindakan itu diputuskan tidak berperlembagaan oleh mahkamah kelak.

Sudah pasti apabila perkara tersebut berlaku, ia menzahirkan kejelikan ilmu perundangan yang ada dan akan menyebabkan suatu keaiban kerana gagal mematuhi Jadual Kesembilan tersebut. Walau apapun tujuan atau niat seseorang ingin membuat kebaikan tidak seharusnya Jadual Kesembilan ini dikesampingkan. Ia merupakan jati diri atau ciri asas kepada Perlembagaan Persekutuan itu sendiri.

Dalam perkara berkaitan agama Islam memang sudah jelas bagi selain Wilayah-Wilayah Persekutuan, Negeri mempunyai kuasa penuh mengenainya. Malah di sesebuah negeri Agama Islam itu pula mempunyai ketuanya. Jika pihak persekutuan mencampuri urusan agama sesebuah negeri secara tidak langsungnya ia juga mencampuri urusan ketua agama negeri tersebut.

PRINSIP taburan kuasa antara persekutuan dan negeri ini telah berjalan begitu baik selama ini. Ia janganlah diganggu. Mungkin Malaysia tidak sama dengan negara lain seperti Brunei dan Singapura, tetapi konsep inilah yang telah disepakati di dalam negara.

Walaupun mungkin ada kekhilafan dan ketiadaan persefahaman antara persekutuan dan negeri, tetapi norma ini merupakan formula yang terbaik buat Malaysia sehingga kini. Janganlah menganggap ia sebagai penghalang tetapi sebaliknya sebagai wadah saling hormat menghormati antara satu sama lain di dalam membangunkan negeri dan negara.

Pemusatan kuasa kepada satu badan perundangan sahaja juga mempunyai risiko, di mana ada kebarangkalian ia disalah guna dan tiada suatu badan lain dapat bertindak sebagai pemeriksa.

Mungkin ia sesuai bagi sesetengah negara tetapi tidak sesuai bagi negara yang lain.
Penulis amat yakin apa yang telah digariskan oleh negarawan kita semasa ingin mengecapi kemerdekaan dahulu mempunyai maksud yang tersurat dan tersirat.

Garapan formula tersebut sudah terbukti berjaya membentuk sebuah negara yang berdaulat aman dan makmur.

Jerih payah pemimpin terdahulu di dalam mencapai kemerdekaan hendaklah dijadikan teladan bagi kita dan teruskan kesinambungan negara dengan memegang erat ciri-ciri asas Perlembagaan Persekutuan tersebut.

Apa yang perlu dilakukan sekarang ia menerima Perlembagaan Persekutuan tersebut seadanya.

Tafsiran yang sesuai diberikan di dalam perkara yang masih kabur tetapi di dalam perkara yang telah jelas, ia hendaklah diperakukan dan dilaksanakan.

Dengan cara ini kelangsungan kedaulatan dan jati diri negara akan terus dipertahan.

Dipetik daripada sumber : UTUSAN

No comments:

Post a Comment