Wednesday, February 25, 2015

Bantuan Kediaman Mangsa Banjir

25 Februari 2015 : Pada pertengahan bulan Disember 2014, Malaysia diuji dengan musibah dahsyat yang meruntun hati ramai pihak. Bencana alam banjir yang datang tanpa disangka itu telah akibatkan aktiviti harian negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang lumpuh teruk. Suasana di negeri terbabit tak ubah seperti lepas dilanda tsunami.

Atas sebab itu, ramai pihak tampil untuk membantu sediakan kediaman bagi keluarga yang terlibat.

Di Pahang, Tengku Mahkota Pahang, Yang Teramat Mulia Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah sendiri telah turun padang untuk mengawal selia program pembinaan semula penempatan penduduk. Sebanyak RM780 juta diperuntukkan oleh kerajaan negeri Pahang untuk membantu kira-kira 400,000 mangsa terjejas. Baginda turut mengingatkan kesemua pihak yang terlibat dalam projek penempatan tersebut supaya melaksanakan tanggunggjawab dengan penuh tanggungjawab dan dedikasi.

Sementara itu Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata sebanyak 2,374 rumah akan dibina melibatkan kerjasama dengan kerajaan pusat. Setiap rumah dianggarkan bernilai diantara RM40,000 ke RM48,000 seunit. Kerajaan Kelantan sendiri akan bina 600 unit rumah kekal. Beliau turut meminta ketua-ketua jajahan bagi setiap daerah mengenal pasti lokasi-lokasi yang sesuai untuk penempatan semula ini. Beliau juga berharap,menerusi kerjasama bersama Kerajaan Pusat, akan mempercepatkan lagi usaha pembinaan penempatan kekal kepada mangsa-mangsa banjir yang terlibat.

Kerajaan Negeri Terengganu pula mengambil inisiatif pantas dengan menghulurkan bantuan kewangan sebanyak RM500 bagi setiap keluarga yang terlibat. Bagi rumah yang musnah, Menteri Besar Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, setiap rumah yang akan dibina semula menelan kos sebanyak RM40,000 ke RM48,000. Bagi 408 buah rumah yang alami kerosakan, peruntukan sebanyak RM5,000 ke RM10,000 akan diberi.

Beliau juga memberitahu bahawa pembinaan itu akan dipercepatkan supaya keluarga mangsa banjir tidak tertunggu-tunggu untuk mendiami rumah yang baharu. Negeri Kedah walaupun tidak terlibat dalam banjir, turut melibatkan diri dalam menyediakan peruntukan sebanyak RM100,000 untuk membina 53 unit rumah panjang di kawasan Kampung Karangan. Pembinaan rumah sementara itu akan dibina di padang Sekolah Kebangsaan Karangan. Rumah sementara itu akan digunakan dalam tempoh tiga hingga enam bulan sebelum rumah kekal yang bakal dibina oleh Kerajaan Pusat siap.

Selain itu, Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) dan Alam Flora Sdn Bhd telah membekalkan air bersih sebanyak 36000 liter sehari bagi kegunaan mangsa banjir di Kampung Karangan.

Sesungguhnya walaupun bencana banjir besar ini telah melibatkan kerugian harta benda kepada mangsa banjir, tetapi disebalik itu, ada hikmah yang tersembunyi apabila puluhan ribu sukarelawan hadir dari pelusuk Negara untuk turun membantu. Tanpa kira latar belakang politik, mereka bersama penduduk setempat telah bersatu hati berkongsi kepedihan yang sama.

Semoga mangsa banjir akan terus tabah hadapi ujian yang berat ini.

Disediakan oleh : EDITOR

No comments:

Post a Comment