Monday, February 16, 2015

KIDEX: KKR Tidur, Azmin Hipokrit


kidex 
16 Februari 2015 : Kenyataan Menteri Besar Selangor, Azmin Ali, membatalkan kelulusan Lebuhraya Kinrara Damansara (KIDEX) merupakan satu tindakan hipokrit seorang Menteri Besar yang bercakap soal ketelusan melampaui batas tetapi beliau sendiri tidak mengamalkannya. 

Menurut kenyataan akhbar tersebut, antara sebab kelulusan tersebut ditarik balik ialah kegagalan mendedahkan perjanjian antara pemaju dan kerajaan Persekutuan dan menjelaskan startegi perniagaan Kidex kepada umum.

Ini mencerminkan sikap hipokrit besar Azmin Ali. Beliau enggan memenuhi tuntutan keterbukaan dalam projek Datum Jelatek tetapi mahu kerajaan menjadi telus dalam projek Kidex?

Dalam konsep kerajaan demokrasi, rakyat memilih parti pemerintah untuk menjalankan tugas bagi pihak rakyat supaya perancangan pembangunan dan pentadbiran negara dapat dijalankan dengan lancar dan berkesan.

Sekiranya setiap keputusan kerajaan perlu didedahkan kepada umum untuk persetujuan, kerajaan akan menjadi kacau-bilau kerana hampir mustahil untuk mendapat pandangan yang sama dalam apa isu pun. Sebab itu setiap lima tahun sekali diadakan pilihan raya untuk rakyat menilai keberkesanan kerajaan yang ada.

Selain itu kita mempunyai pelbagai agensi penilai dan penguatkuasa, dan cabang pentadbiran, perundangan dan kehakiman sebagai satu sistem “check and balance”. 

Tidak masuk akal untuk kerajaan mendedahkan sebarang perjanjian dengan pihak lain kepada umum kerana ia membabitkan soal kerahsiaan dan kepentingan pihak lain.

Tidak ada sesiapa akan menandatangani perjanjian dengan kerajaan jika dokumen tersebut akan didedahkan dan dijadikan bahan perbincangan umum. Mendedahkan dokumen perjanjian juga tidak memberi apa-apa perbezaan.

Jika anda letak sepuluh orang peguam meneliti satu kandungan perjanjian, anda akan mendapat 100 pandangan yang berbeza dan masing-masing ingin menunjukkan mereka hebat.

Perjanjian ini telah disemak oleh pelbagai pihak di peringkat agensi kerajaan pusat dan kerajaan negeri. Azmin sendiri tahu kandungan tersebut dan beliau boleh membuat keputusan bagi pihak Kerajaan Negeri tanpa memerlukan perjanjian tersebut didedahkan kepada umum.

Malangnya beliau tidak mementing kepentingan umum tetapi memilih untuk menjaga hati penyokong mereka di Puchong dan Kinrara berbanding kepentingan rakyat keseluruhannya.
Kementerian Kerja Raya (KKR) Tidur?

Lebih mengejutkan, Kementerian Kerja Raya kelihatan tidak bersedia dan tidak memainkan apa-apa peranan dalam mempertahankan Kidex sedangkan ia merupakan projek di bawah kawal selianya.

Sekarang kita menunggu apakah tindak balas Kementerian berdasarkan keputusan kerajaan negeri ini. KKR langsung tidak aggresif menerangkan keperluan Kidex ini kepada umum. Penerangan-penerangan dilakukan secara sambil lewa sehingga tidak sampai kepada majoriti rakyat.

Sekarang, beranikah KKR membatalkan semua projek Persekutuan di Selangor sebagai mengambil tindak balas keputusan Selangor?

KENYATAAN MEDIA YAB DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR
16 Februari 2015
Pembatalan Projek Lebuhraya Kinrara Damansara (KIDEX)

Kerajaan Negeri Selangor mengamalkan pendekatan mengambil kira pandangan orang ramai dalam menentukan kelulusan sesebuah projek agar ia membawa manfaat menyeluruh. Selain dari pembangunan ekonomi, pentadbiran Negeri Selangor turut menitikberatkan sumbangan sosial dan manusiawi dalam setiap projek yang diluluskan. Dasar pembangunan berkualiti, rakyat dipeduli akan menjadi teras dalam setiap pembangunan di Negeri Selangor.

Pertikaian mengenai kelulusan Lebuhraya Kinrara Damansara (KIDEX) sebelum ini banyak berkisar kepada persoalan – persoalan ini.

Kerajaan Negeri telah menggunapakai maklum balas orang ramai yang terbabit untuk menetapkan syarat – syarat khusus yang perlu dipatuhi. Kerajaan Negeri juga berpendirian bahawa pembinaan lebuhraya dalam Negeri Selangor perlulah bermanfaat bukan sahaja kepada pengguna lebuhraya tetapi juga dinikmati oleh penduduk di mana lebuhraya itu dibina. Pendirian ini telah diluluskan dalam pembentangan Belanjawan Negeri Selangor 2015 di Persidangan Dewan Negeri Selangor pada 24 November 2014.

Justeru, pihak konsesi KIDEX perlu memenuhi syarat – syarat berikut :

1. Menyediakan Penilaian Impak Lalulintas (Traffic Impact Assessment) yang bebas, Penilaian Impak Sosial (Social Impact Assessment) dan Penilaian Impak Alam Sekitar (Environmental Impact Assessment). Kajian – kajian ini perlu membuktikan manfaat yang ternyata kepada pihak pengguna dan penduduk kawasan yang terlibat setelah mengambil kira kesan negatif yang timbul akibat pembinaan lebuhraya tersebut.

2. Mendedahkan kadar tol sepanjang tempoh konsesi termasuk segala kenaikan tol yang ditetapkan dalam konsesi. Pihak konsesi perlu memberikan anggaran rasmi jumlah tol yang akan dikutip dan kadar pulangan kepada pelaburan (rate of return to investment).

3. Mendedahkan perjanjian konsesi sepenuhnya untuk mematuhi dasar kerajaan Pakatan Rakyat yang menegaskan ketelusan dan kebertanggungjawaban.
Kerajaan Negeri telah memaklumkan kepada KIDEX untuk mematuhi syarat–syarat ini sebelum 14 Februari 2015. Oleh kerana tidak ada satu pun syarat–syarat ini yang dipatuhi oleh KIDEX setelah tempoh masanya tamat, maka Kerajaan Negeri Selangor dengan ini mengumumkan pembatalan Projek Lebuhraya Kinrara Damansara (KIDEX).

Pendekatan yang sama akan digunakan dalam mempertimbangkan permohonan kelulusan oleh lebuhraya – lebuhraya lain yang dicadangkan di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri Selangor.

MOHAMED AZMIN ALI
Disediakam oleh : EDITOR

No comments:

Post a Comment