Tuesday, February 17, 2015

Allahyarham Nik Aziz: Yang Ditentang Adalah Ideologinya, Bukan Keperibadiannya…


Nik Aziz mykmu
17 Februari 2015 : PAS baru-baru ini dalam laman rasmi Facebooknya mengecam para penyokong Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang begitu taksub dan fanatik terhadap Mursyidul Am PAS itu sehingga menimbulkan banyak cerita tidak benar, bohong dan khurafat tokoh PAS itu.

Malah admin laman Facebook itu turut menceritakan tentang contoh kes yang mengatakan Allahyarham Nik Abdul Aziz pernah memarahi pengikutnya yang taksub ketika arwah masih hidup.

Saya tersenyum sumbing membaca kecaman PAS tersebut sebetulnya.

Terbayang di minda bahawa sudah berkali-kali ditegur dan dilaporkan tentang sikap para penyokong PAS yang begitu mudah berlaku taksub secara melampau-lampau terhadap Allahyarham sebelum ini. Namun PAS “selamba” menafikan.

Dan kini, apabila Allahyarham Nik Aziz tidak ada, baru PAS nak marah dan menegur para penyokong mereka? Baru nak mengaku sikap mazmumah pengikut sendiri?

Benar Nik Abdul Aziz Nik Mat telah meninggal dunia. Saya kira, pemergian beliau itu adalah satu kehilangan besar kepada PAS. Mungkin ada betulnya teori yang mengatakan bahawa kekuatan Nik Azizlah yang selama ini memastikan PAS terus menguasai negeri Kelantan.

Sebagai saudara seagama dan kedudukan Allahyarham sebagai seorang yang jauh lebih tua berbanding saya, serta kelebihan ilmu agama yang dimilikinya, saya turut terkesan dengan pemergian Nik Aziz.

Memang benar saya selalu menentang arwah. Tapi yang saya bantah dan kritik itu adalah padangan dan ideologinya sahaja yang pada saya tidak sesuai, tidak wajar dan tidak bertepatan dengan ajaran Islam yang disampaikan Rasulullah SAW.

Misalnya ialah berkenaan keengganannya menyokong Kerajaan Perpaduan di antara PAS–UMNO yang memungkinkan penyatuan ummah berlaku di negara kita setelah kita terpisah sejak berpuluh-puluh tahun hanya disebabkan ideologi politik yang berbeza.

Orang Cina mungkin berbeza pandangan politik, namun bila masuk ke dewan perniagaan dan bercakap mengenai soal ringgit atau untung, mereka bersatu berpadu. Agak menyedihkan pula bagi umat Islam di Malaysia yang berbeza politik, tapi sanggup solat dua imam dan tidak mahu bersatu di atas kalimah Islam, bukan?

Seperkara lagi ialah mengenai fahamannya yang menghalalkan dirinya untuk memaki hamun dan selamba memberi alasan bahawa Allah juga mencarut di dalam Al-Quran.

Ya, memang benar Allah mencelakakan Abu Lahab di dalam surah Al-Lahab. Tapi apa pula kapasiti arwah ketika itu untuk memaki hamun seolah dirinya Tuhan? Nik Abdul Aziz bukan Tuhan untuk mencelakakan orang seperti Allah mencelakakan hambaNya yang bernama Abu Lahab, bukan?

Malah, Rasulullah SAW dalam hayat baginda yang dicemuh, dibaling batu, diugut bunuh, diperangi dan carut sesuka hati pun tidak pernah membalas atau mencerca umatnya. Apakah fahaman Nik Aziz menghalalkan perbuatan yang dilarang Rasulullah SAW itu?

Sebab itulah saya katakan bahawa saya hanya menentang ideologi, pandangan dan fahaman arwah yang tidak wajar sahaja. Saya tidak memusuhi peribadi Nik Aziz dan saya sendiri pernah memuji akhlaknya dari sudut muamalah ketika hayatnya.

Namun kini Nik Abdul Aziz sudah kembali ke rahmatullah. Sebagai salah seorang saudaranya, saya juga menghadiahkan Al-Fatihah dan sempat bertahlil untuk dihadiahkan pada Mursyidul Am PAS itu.

Apa yang berlaku dan segala perjalanan hidupnya di dunia sudah selesai. Kini perjalanan menuju akhiratnya telah bermula dan kita yang masih hidup juga sedang menuju ke alam yang sama. Mati itu pasti bagi setiap hamba Allah, bukan?

Segala hidup Nik Abdul Aziz kini biarlah Allah SWT yang tentukan. Itu soal Allah, bukan soal kita. Jika kenang dan sayangkan ukhuwah antara saudara seagama, wajarlah kita berbicara yang baik-baik dan mendoakan kesejahteraan Nik Aziz “di sana”.

Tidak payahlah mereka-reka cerita bohong, tipu atau tahyul terhadap pemergian Nik Abdul Aziz. Bukan saja arwah atau PAS yang marah, malah Allah SWT pun murka dengan cerita-cerita karut sebegitu, kan?

Semoga Allahyarham Nik Abdul Aziz aman damai di sana dan kita yang masih diberi kesempatan untuk hidup di dunia ini perlulah insaf selalu. Masa Nik Aziz sudah tiba, masa kita entah bila akan tiba. Al-Fatihah. Wallahu’alam.

Disediakan oleh : EDITOR

No comments:

Post a Comment