Monday, February 23, 2015
PAS Tidak Sesekali Akan Bergabung Dengan UMNO – Tuan Ibrahim
24 Februari 2015, KUALA LUMPUR : PAS tidak akan
sesekali bergabung dengan UMNO sebagaimana yang kecoh dibicarakan dalam
media sosial sekarang, kata Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan
Man hari ini dalam sebuah kenyataan rasmi.
Menurutnya, perkara penggabungan PAS-UMNO tidak pernah dibincangkan dalam mana-mana mesyuarat parti.
“Sudah tidak terbilang kalinya ditegaskan bahawa tidak timbul soal
penyatuan kedua-dua parti ini. PAS ada 21 kerusi parlimen, UMNO
mempunyai 88 kerusi parlimen. Jika bergabung, UMNO nak bagi berapa
kerusi kepada PAS?
“Daripada sudut ini sahaja, tuduhan bahawa PAS akan bergabung dengan UMNO sudah tidak masuk akal,” ujar Tuan Ibrahim.
Tambahnya, Presiden PAS telah menegaskan hal tersebut dalam sidang
Muktamar lalu dan sebelumnya bahawa PAS tidak akan bergabung dengan
UMNO. Perkara dasar itu harus melalui keputusan Muktamar dan bukan hanya
pandangan peribadi ahli parti.
“Jikalau atas alasan untuk melaksanakan sistem perundangan Islam,
UMNO sudahpun boleh melaksanakannya seandainya betul ingin
melaksanakannya di semua negeri yang diperintahnya.
“Berdekad-dekad UMNO menentang hudud dan memperlekehkan hukum Allah
ini, dan tidak menggunakan al-Quran dan Hadis sebagai rujukan tertinggi
parti. Apakah mungkin tiba-tiba UMNO betul ingin membantu PAS
melaksanakannya?” kata Tuan Ibrahim.
Tuan Ibrahim mendakwa, UMNO melakukan apa sahaja ketika ia memerlukan
bantuan namun pengalaman lampau menunjukkan bahawa apabila ia kuat, PAS
ditunjukkan ‘jalan keluar’ daripada muafakat yang ada.
Bekas ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Jengka itu seterusnya mendakwa
UMNO telah lama menindas rakyat Kelantan dengan menafikan royalti
minyak, pembangunan, lebuh raya, lapangan terbang dan tidak menghormati
sistem federalisme.
“Kalau hujahnya adalah untuk perpaduan Melayu, biarlah orang Melayu
bersama dengan PAS bagi membentuk sebuah kerajaan baharu berteraskan
Islam,” ujar Tuan Ibrahim.
Sumber dipetik daripada : Astro Awani
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment