Wednesday, February 25, 2015
BN Tidak Bertanding PRK DUN Chempaka
26 Februari 2015 : Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan Barisan
Nasional (BN) tidak akan meletakkan calon untuk bertanding dalam Pilihan
Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka pada 22 Mac ini.
Perdana Menteri berkata, Majlis Tertinggi (MT) UMNO membuat keputusan
itu berdasarkan beberapa pertimbangan tertentu dan selepas mengadakan
perbincangan secara menyeluruh dengan Badan Perhubungan UMNO Kelantan
serta UMNO Bahagian Pengkalan Chepa.
Beliau yang juga Presiden UMNO memberitahu, pada masa ini, tumpuan
perlu diberikan kepada program pemulihan mangsa banjir dan kerja-kerja
kebajikan di Kelantan serta perpaduan ummah.
“Kita tengok masih banyak lagi mangsa banjir yang belum menerima bantuan.
“Selain itu, kita fikir kita perlu lihat kepada usaha-usaha membawa
kepada perpaduan ummah walaupun ada perbezaan pendapat dan politik,
perpaduan ummah perlu diutamakan,” katanya dalam sidang akhbar selepas
mempengerusikan mesyuarat MT UMNO di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan
Dunia Putra (PWTC) di sini malam ini.
Yang turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin;
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Mohd.
Shafie Apdal dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Setiausaha Agung
UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Bendahari Agung UMNO, Datuk
Seri Ahmad Husni Hanadzlah; Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat
Abdul Jalil serta Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan.
Kerusi DUN Chempaka kosong berikutan penyandangnya, Datuk Nik Abdul
Aziz Nik Mat meninggal dunia akibat kanser prostat pada 12 Februari
lalu.
Perdana Menteri menambah, keputusan untuk tidak meletakkan calon itu
bukan perkara baharu kerana BN juga tidak bertanding pada PRK Parlimen
Bukit Gelugor tahun lalu.
“Kita tidak boleh menghalang mana-mana individu untuk bertanding
tetapi UMNO tidak akan meletakkan calon,” jelasnya ketika ditanya
tentang kemungkinan calon Bebas bertanding dalam PRK DUN Chempaka.
Berhubung persiapan menghadapi kemungkinan PRK di Parlimen Permatang
Pauh, Najib berkata, BN akan membuat keputusan setelah tafsiran
Perlembagaan Persekutuan terhadap petisyen yang dikemukakan
penyandangnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim selesai.
“Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan dinasihatkan berdasarkan
tafsiran Perlembagaan Persekutuan itu dan SPR akan tentukan tarikh.
“Bila SPR tentukan tarikh, MT UMNO akan buat keputusan dan umumkan bila sampai masanya kelak,” katanya.
Status Anwar sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh masih belum
ditentukan selepas anaknya, Nurul Nuha mengemukakan petisyen pengampunan
kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah semalam.
Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu sedang menjalani hukuman
penjara lima tahun setelah Mahkamah Persekutuan menolak rayuan
terakhirnya dalam kes meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful
Bukhari Azlan.
Dipetik daripada sumber : Utusan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment