Wednesday, February 25, 2015
Petisyen Pembebasan Atau Rayuan
26 Februari 2015 : Apakah kandungan sebenar dokumen yang dihantar
oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan
Ismail kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah
semalam, adakah ia mengandungi rayuan pengampunan atau petisyen memohon
pembebasan suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim?
Persoalan itu ditimbulkan oleh bekas Ahli Parlimen Kulim Bandar
Baharu, Zulkifli Nordin kerana menurut beliau, kalau ia adalah petisyen
memohon pembebasan bermakna ia tidak terikat dengan Perkara 48 (1) (e)
Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa seseorang ahli Parlimen
boleh dilucutkan kelayakannya jika beliau dijatuhi hukuman penjara
minimum setahun atau didenda tidak kurang daripada RM2,000 dan tidak
mendapat pengampunan bebas.
Bagaimanapun tegas beliau, jika dokumen yang dihantar itu adalah
rayuan pengampunan maka ia terikat dengan peruntukan perlembagaan
tersebut yang perlu dibaca dengan Perkara 42 (1) (c) Perlembagaan
Persekutuan antaranya bergantung kepada keperluan tiga syarat iaitu
perayu mengakui kesalahan yang disabit, menyesal dengan perlakuan
kesalahan yang disabit dan memberi akui janji tidak mengulangi kesalahan
yang disabit.
“Oleh itu apakah sebenar dokumen yang dihantar oleh Wan Azizah
memandangkan atas faktor rayuan pengampunan sewajarnya dikemukakan oleh
Anwar sendiri dan bukan pihak lain,” katanya ketika dihubungi di sini,
hari ini.
Beliau mengulas desakan pembangkang supaya Anwar dibenarkan hadir
sidang Dewan Rakyat berikutan pengesahan keluarga Anwar semalam bahawa
mereka mengemukakan petisyen pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong
berhubung sabitan dan hukuman penjara lima tahun ke atas Anwar kerana
meliwat bekas pembantu pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan .
Zulkifli berkata, antara rayuan pengampunan dan petisyen pembebasan mempunyai dua maksud berbeza.
“Jika ia sekadar petisyen pembebasan pihak Istana boleh menolak
melalui cara pentadbiran tanpa perlu dipertimbangkan oleh Yang
di-Pertuan Agong manakala Yang Dipertua Dewan Rakyat boleh memaklumkan
kepada Suruhjaya Pilihan Raya (SPR) berlaku kekosongan bagi kerusi
Parlimen Permatang Pauh.
“Bagaimanapun jika ia rayuan pengampunan baharulah kedudukan Anwar
sebagai Ahli Parlimen masih kekal dan Dewan Rakyat perlu menanti proses
pengampunan selesai untuk mengisytiharkan kerusi Parlimen berkenaan
kosong atau tidak,” katanya.
Selain itu Zulkifli menegaskan, apa yang perlu difahami rayuan
pengampunan hanya berkaitan dengan hukuman sama ada dikurangkan atau
ditangguhkan, namun sabitan kesalahan tetap kekal.
“Ini bermakna walaupun proses rayuan pengampunan berjalan, Anwar
masih lagi disabit kesalahan jenayah, beliau kekal sebagai banduan dan
masih tertakluk kepada undang-undang dan peraturan penjara,” katanya.
Zulkifli berkata, Wan Azizah perlu telus dengan mendedahkan isi
sebenar dokumen tersebut bagi mengelakkan kekeliruan memandangkan
langkah penghantaran dokumen itu dikaitkan dengan strategi politik
beliau bagi mengelakkan berlaku pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen
Permatang Pauh.
Selain itu, kata Zulkifli, tindakan tersebut juga mewujudkan tafsiran
sesetengah pihak bahawa ia langkah Wan Azizah bagi melengah-lengahkan
usaha pakatan pembangkang yang turut disertai oleh Pas dan DAP melantik
Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali yang juga Menteri Besar sebagai Ketua
Pembangkang dalam sidang Parlimen bulan depan.
“Apa pun jawapan ada kepada Wan Azizah untuk menjelaskan kepada
rakyat isi sebenar kandungan dokumen tersebut bagi mengelakkan pelbagai
andaian dibuat,” katanya.
Dipetik daripada sumber : Utusan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment