Wednesday, February 25, 2015

Pengampunan DiRaja: Anwar “Tidak Bersalah”? Apa Yang Nuha Karutkan Ini?


nuha 

25 Februari 2015 : Saya faham, sebagai isteri, anak dan keluarga banduan yang baru dipenjara, sudah tentulah hati mereka gundah-gulana dan susah hati. Jika seseorang itu dipenjara sehari dua pun sudah mampu merisaukan keluarga terdekat, apatah lagi untuk tempoh lima tahun, bukan?

Mungkin itulah yang sedang dirasai oleh Datuk Seri Wan Azizah, Nurul Izzah, Nurul Nuha dan seluruh keluarga Anwar. Jika dulu mereka meletakkan bunga kecil berwarna putih ketika Anwar pertama kali dipenjara di Sungai Buloh, kali ini mereka gunakan hak petisyen permohonan pengampunan DiRaja pula.

Saya tidak memandang serong pada hal permohonan pengampunan DiRaja tersebut. Itu hak Anwar dan keluarganya menurut Perkara 42, Perlembagaan Persekutuan. Terserahlah mahu mohon keampunan DiRaja itu atau tidak.

Cuma, yang saya tidak dapat terima ialah ALASAN yang diberikan Nurul Nuha dalam justifikasi permohonan pengampunan tersebut.

Katanya, dia dan keluarga membuat permohonan itu kerana percaya Anwar tidak bersalah. Kemudian, dia istilahlah Anwar sebagai “tahanan politik”. Malah Nuha mendakwa prinsip-prinsip keadilan telah diketepikan dan kononnya Anwar difitnah.

Benarkah Anwar “tidak bersalah”? Benarkah Anwar “tahanan politik”? Benarkah prinsip-prinsip keadilan diketepikan? Dan benarkan Anwar difitnah?

Saya tertanya-tanya, fakta menunjukkan bahawa mahkamah bersidang dalam tempoh hampir tujuh tahun, dibicarakan dengan adil dan Anwar diberikan hak membela diri termasuk memanggil seluruh “panglima” peguam yang handal-handal dan saksi dari luar serta dalam negara, apakah itu masih lagi tidak adil?

Malah pengalaman saya yang berada di dalam bilik Mahkamah Tinggi mengikuti perbicaraan Liwat II, Anwar diberikan hak untuk membela diri di kandang saksi, mengapa dia memilih untuk membela diri di kandang orang kena tuduh (OKT) sedangkan dia tahu keterangan di kandang itu tidak sesekali akan digunapakai oleh mahkamah?

Kemudian, Anwar tegar dengan pendirian “hikayat konspirasi”nya ketika berhujah di kandang OKT tanpa sebarang bukti kukuh yang menyokong hujahnya. Siapa suruh pilih untuk kemukakan hujah “basi” dari kandang yang tidak dipeduli mahkamah?

Di pihak Saiful Bukhari pula, segala bukti-bukti kukuh dikemukakan dan semua keterangan yang berkreadibiliti turut dinyatakan di kandang saksi sebagaimana prosedur yang sepatutnya. Tiada sebarang masalah pun…

Namun pada 9 Februari 2012, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah telah memutuskan bahawa Anwar tidak bersalah. Keputusan itu telah disambut dengan baik oleh Anwar, keluarga dan ribuan penyokongnya yang hadir di perkarangan mahkamah ketika itu.

Sejurus diputuskan tidak bersalah oleh mahkamah, Anwar, keluarga dan seluruh penyokongnya memuja-muji sistem keadilan negara yang disifatkan sebagai sangat adil, mengamalkan prinsip-prinsip keadilan dan pelbagai kata-kata manis diberikan pada institusi kehakiman negara.

ANWAR_FAMILY_ROYAL_PARDON_APPLICATION_TMI_PIC_240215
 
Ketika itu, tidak timbul “prinsip-prinsip keadilan diketepikan” pula. Malah para penyokong Saiful Bukhari dan mereka yang percaya Anwar meliwat pun jelas menghormati keputusan mahkamah itu dengan baik tanpa mendakwa mahkamah dicatur Kerajaan atau mana-mana pihak.

Tapi kini bila Mahkamah Rayuan menerima rayuan mangsa Saiful Bukhari dan memutuskan Anwar bersalah, dijatuhkan hukuman 5 tahun penjara, serta seteruskan Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Anwar dan mengekalkan hukuman tersebut, tiba-tiba timbul pula “prinsip keadilan diketepikan”?

Pelik benar pemahaman Nurul Nuha mengenai prinsip keadilan. Bila bapanya “tidak bersalah”, dia anggap mahkamah “ok”, tapi bila bapanya diputuskan bersalah, tiba-tiba pula mahkamah “tidak ok”? Ini lebih teruk dari “double standard”, bukan?

Fahamkah Nuha tentang istilah “tahanan politik”? Sila “google” maksud sebenar istilah berkenaan atau tanyalah mana-mana ahli akademik mengenai istilah itu dari sudut bahasa dan definisi, saya yakin mereka akan ketawakan Nurul Nuha.

Bagaimana hendak disifatkan Anwar sebagai tahanan politik sedangkan dia menjalani perbicaraan secara adil di mahkamah tanpa sebarang campur tangan politik sama ada di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan mahupun Istana Kehakiman?

Dan bagaimana pula untuk didefinisikan bahawa Anwar “difitnah” dalam kes jenayah itu sedangkan semua bukti kukuh dan keterangan di mahkamah itu adalah berstatus “beyond reasonable doubt”. Nurul Nuha boleh bertanya pada mereka yang belajar undang-undang mengenai istilah tersebut.

Saya tidak menyebelahi Saiful Bukhari, mahupun Anwar dalam hal ini. Yang benar tetap benar dan yang salah perlulah menerima hukuman sewajarnya. Tiada dakwa-dakwi sama ada bersalah atau tidak setelah mahkamah membuat keputusan kerana saya percaya pada kedaulatan undang-undang di Malaysia.

Jadi, tidak perlulah Nurul Nuha mengikut jejak langkah “baba”nya, ibunya (isu mana Omega?) dan kakaknya dengan mengeluarkan hujah yang sangat rapuh untuk dipatahkan.

Jika sudah hantar permohonan pengampunan DiRaja, sudahlah. Tidap perlu memberi ulasan mengarut kepada media. Cukuplah Anwar, Wan Azizah dan Nurul Izzah jadi “tukang karut”, Nurul Nuha nak ikut jejak langkah mereka juga?

Disediakan oleh : EDITOR

No comments:

Post a Comment