Sunday, February 15, 2015
Azmin Bersedia Menjadi Ketua Pembangkang.
12 Februari 2015 : Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR),
Azmin Ali berkata, beliau bersedia melaksanakan setiap tugas yang
diamanahkan dengan penuh tanggungjawab jika dilantik sebagai Ketua
Pembangkang.
Mohamed Azmin yang juga Menteri Besar Selangor berkata, beliau
bersyukur sekiranya beliau dipilih untuk menggantikan kedudukan Datuk
Seri Anwar Ibrahim yang dikenakan hukuman penjara lima tahun.
“Alhamdulillah kalau dipilih dan saya akan buat kerja. Apa juga
amanah yang diberi saya akan laksanakan,” katanya kepada pemberita di
sini hari ini.
Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa itu,
beliau akan melihat keputusan Majlis Presiden Pakatan Rakyat terlebih
dahulu sama ada beliau bersedia atau tidak untuk memikul tanggungjawab
tersebut.
“Bukan soal saya mahu atau tidak tetapi kekuatan Pakatan Rakyat
adalah kita melakukan perbincangan dan membuat keputusan atas muafakat
serta konsensus. Jadi, kita tunggu mesyuarat Majlis Presiden pakatan
pembangkang, Jumaat nanti,” katanya.
Jelas Menteri Besar Selangor itu, pakatan pembangkang mempunyai ramai
pemimpin yang berupaya dan cekap untuk menjadi ketua, jadi mereka perlu
berbincang terlebih dahulu siapa yang layak.
“Kemudian kita akan membuat pilihan berdasarkan keputusan konsensus kesemua ketua pakatan,” ujarnya.
Disediakan oleh : EDITOR
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment