Monday, October 26, 2015
"Amanah, Kerjanya Mempromosikan DAP" - PAS
KUALA LUMPUR : Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Dr Mohd
Khairuddin Aman Razali berkata Parti Amanah Negara (Amanah) telah
mempromosikan DAP apabila mengangkat Lim Guan Eng sebagai tokoh dalam
misi menawan Putrajaya.
Ahli Parlimen Kuala Nerus itu berkata, sebagai parti Islam, PAS
mempunyai prinsipnya sendiri dari segi pemilihan pemimpin atau ketua
negara.
"Pertama saya nampak memang parti serpihan PAS ini menjadi pengikut
kepada DAP, kerjanya mempromosi DAP dan memang tidak peliklah apabila
saudara Salahuddin pun mempromosi Lim Guan Eng.
"Kita (PAS) dalam kaedah Islam, ada prinsip kita, kekuasaan dan
penguasaan mestilah didominasi oleh orang Islam…sebab ia bercanggah
dengan Islam, tidak boleh kita jatuhkan seorang pemimpin Islam walaupun
dia tidak mengikut Islam sepenuhnya digantikan dengan menteri yang bukan
Islam,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, Isnin.
Katanya, masyarakat harus tahu tentang kaedah ini dan PAS sama sekali
tidak akan memainkan isu pemimpin bukan Islam diangkat sebagai tokoh.
"PAS tidak akan memainkan isu ini, jadi inilah yang membezakan kita dengan parti-parti lain.
"Saya tidak merasakan orang Islam akan menyokong (DAP), Melayu tidak
akan menyokong DAP kerana DAP dilihat tidak menyokong isu-isu Islam,
tidak memberikan sesuatu yang positif.
“Ahli-ahli Parlimen DAP, saya tidak nampak mereka mesra pada Islam," katanya.
Khairuddin berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Presiden
Amanah, Salahuddin Ayub bahawa Guan Eng adalah contoh tokoh politik
mewakili masyarakat bukan Islam yang mampu menyelamatkan negara.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis bersama pimpinan Pakatan Harapan di Klang, malam Ahad.
Ketika majlis itu, Salahuddin turut mengakui bahawa tidak ada jaminan
untuk Amanah bertanding atau menang dalam pilihan raya akan datang
tetapi demi perjuangan menyelamatkan negara, mereka sanggup ‘cari susah’
apabila bertindak meninggalkan PAS yang juga berada dalam keadaan
susah.
Mengulas kenyataan ini, Khairuddin berkata Amanah bersikap lemah
semangat dan ia tidak sepatutnya ditunjukkan oleh seorang ahli politik.
"Jadi saya merasakan bahawa mereka tidak ada sokongan, saya sebutkan di
sini contohnya macam PKR yang begitu lama dalam politik pembangkang yang
lebih 10 tahun pun tidak mempunyai sokongan yang kuat di peringkat akar
umbi, jadi apakan lagi DAP dengan serpihan PAS ini, saya yakin mereka
tidak ada kekuatan di peringkat akar umbi,” katanya.
Mengenai sokongan terhadap PAS, beliau berkata pihaknya menerima
sambutan hangat daripada orang ramai walaupun beberapa pemimpinnya
beralih kepada Amanah.
"Ahli-ahli PAS pun semakin bersemangat dan ramai golongan atas pagar dan
ahli Umno sendiri tidak bersama Umno bahkan bersama PAS," katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment