Sunday, October 25, 2015
'Muhyiddin, Usahlah Bernostalgia' - Zahid Hamid
KUALA LUMPUR : Tan Sri Muhyiddin Yassin dinasihat untuk menerima hakikat
bahawa pemimpin yang dipilih menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi
sebagai Perdana Menteri adalah Datuk Seri Najib Razak.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata,
adalah lebih baik untuk Muhyiddin memberi sokongan kepada kepimpinan
semasa, bukannya membuat tindakan yang tidak seiring dengannya.
"Saya fikir realiti yang harus dihadapi adalah kita tak perlu
bernostalgia terhadap sesuatu yang pernah berlaku tetapi tidak menjadi
realiti.
"Kita harus memberikan sokongan terhadap kepimpinan yang ada sekarang
ini kerana itulah yang dipilih rakyat dalam Pilihan Raya Umum (PRU) yang
lalu," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup
Hari Pengguna Kebangsaan 2015 di Dataran Merdeka pada Ahad.
Ia sebagai mengulas kenyataan Muhyiddin dalam sesi dialog Bicara Minda
yang bertajuk 'Berani Kerana Benar' yang berlangsung di Johor Bahru pada
Sabtu.
Dalam dialog tersebut, Muhyiddin memaklumkan yang beliau diminta Tun Dr
Mahathir Mohamad untuk mencabar kerusi Perdana Menteri selepas Barisan
Nasional (BN) pimpinan Abdullah ketika itu kalah besar dalam PRU pada
2008.
Namun disebabkan pada masa itu Muhyiddin hanya Naib Presiden BN manakala
Najib pula Timbalan Presiden, laluan diberikan kepada Najib untuk
menggantikan Abdullah.
"Ketika itu pun Dr Mahathir bukanlah Perdana Menteri dan dia tiada kuasa
untuk memilih siapa-siapa untuk menjadi Perdana Menteri.
"Kalau mana-mana individu yang tidak merasakan seseorang itu harus
berada di tampuk kepimpinan, individu tersebut boleh menawarkan diri
untuk bersama organisasi lain dan membuktikan kepada rakyat bahawa
individu itu lebih baik daripada tokoh kepimpinan yang ada.
"Jadi eloklah kita tunggu hingga PRU akan datang untuk kita sama-sama ada dalam gelanggang.
"Kita tengok mana satu pilihan rakyat waktu itu," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Zahid menegaskan peruntukan besar yang
dikhaskan kepada Sabah dan Sarawak dalam Bajet 2016 bukan bertujuan
untuk memancing undi daripada rakyat negeri itu.
"Ia bukan semata-mata demi PRU. Ini Ini adalah keprihatinan kerajaan
Malaysia dalam memberi imbuhan dan perkhidmatan yang baik kepada setiap
rakyat mereka.
"Saya rasa Sarawak layak untuk menerima peruntukan istimewa itu," katanya.
Lebih RM29 bilion diperuntukkan dalam Bajet 2016 untuk pembangunan
kesejahteraan rakyat negeri Sabah dan Sarawak yang antaranya merangkumi
RM16.1 bilion untuk pembinaan Lebuhraya Pan Borneo (LPB) di Sarawak dan
RM12.8 bilion untuk LPB di Sabah.
Lebuh raya tersebut juga tidak akan mengenakan bayaran tol kepada penggunanya apabila siap kelak.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment