“Kita pernah mempunyai pengalaman dalam kerajaan campuran, kita hanya mahu bekerjasama dalam perkara baik bukan perkara tidak baik termasuklah dengan DAP dan PKR,” katanya.
Tuesday, October 27, 2015
PAS Akan Jadi Pembangkang Beradab : Menerang Bukan Menyerang
KUALA LUMPUR : Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang
menegaskan, parti itu ingin menjadi pembangkang yang beradab di dalam
Dewan Rakyat dengan mengamalkan pendekatan menerang bukan menyerang.
Beliau berkata, Pas mahu melaksanakan proses demokrasi yang beradab
dan berakhlak di samping tidak melupakan konsep raja berperlembagaan
selain memelihara konsep masyarakat majmuk.
“Ini sikap kita kerana kita bukan hendak tunjuk perasaan, kita mahu
jadi ahli Parlimen yang membangkang secara beradab,” katanya pada sidang
akhbar di Lobi Parlimen, di sini, hari ini.
Ahli Parlimen Marang itu berkata demikian ketika diminta mengulas
tindakan sebahagian ahli Parlimen pakatan pembangkang yang bertindak
mengangkat plakad ‘Mana RM2.6b’ sebaik sahaja Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Tun Razak selesai membentangkan Bajet 2016 di Dewan Rakyat, pada
Jumaat lalu.
Abdul Hadi juga menegaskan, Pas akan menjalin kerjasama dengan semua
parti termasuk kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam semua perkara yang
baik.
Oleh itu, kata beliau, parti tersebut bersedia untuk mengadakan
pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi
mengemukakan perkara-perkara yang tidak dipersetujui secara baik
termasuklah dalam isu cukai barang dan perkhidmatan (GST).
“Kita ada cadangan dalam soal untuk memungut hasil kerajaan. Kita
juga ada cadangan dalam isu kejatuhan nilai ringgit dan bagaimana hendak
mempertahankannya. Kita akan bertemu kerajaan untuk kemukakan
cadangan,’’ katanya.
Jelas beliau lagi, ia merupakan satu pendekatan baharu dengan semua
pihak dalam menyelesaikan isu rakyat dan bukannya titik permulaan untuk
menjalinkan kerjasama seperti mewujudkan kerajaan campuran.
“Kita pernah mempunyai pengalaman dalam kerajaan campuran, kita hanya mahu bekerjasama dalam perkara baik bukan perkara tidak baik termasuklah dengan DAP dan PKR,” katanya.
Mengenai pakatan pembangkang yang disertai oleh PKR, DAP dan Parti
Amanah Negara (Amanah), Abdul Hadi menyifatkan pakatan tersebut umpama
‘bas ekspres’ yang tidak mungkin akan sampai ke destinasi sebenar.
Tegasnya, Pas tidak akan naik ‘bas’ tersebut kerana tidak mampu menjayakan matlamat perjuangan parti berkenaan.
“Kita tidak akan menyertai sebarang langkah perjuangan yang tidak
mencapai matlamat kita. Kita tidak mungkin naik ‘bas ekspres’ yang tidak
sampai destinasi yang nak pergi.
“Kita tidak ada harapan dengan yang tidak sampai di destinasi. Naik
bas untuk ke Kuantan tetapi guna jalan Kuala Lipis, mana boleh sampai?,”
katanya.
Abdul Hadi menegaskan, Pas tidak mempunyai masalah untuk menjadi parti pembangkang bersendirian.
“Ini kerana Pas sudah lama bersendirian dan kita percaya banyak parti
lain bergantung kepada kita. Kita ada akar umbi kuat, kamu saksi
sendiri pihak lain membuat demonstrasi, apabila Pas tidak hadir maka
tidak ada orang,” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment