Friday, March 11, 2016
Bursa Malaysia Stabil, Dengan Kemasukan Semula Pelabur Asing
KUALA LUMPUR : Bursa Malaysia berada di tahap stabil seperti
yang dibuktikan oleh peningkatan minat pelabur asing, memacu kenaikan
ringgit dan pengukuhan harga minyak mentah.
Belian asing bersih dalam pasaran ekuiti tempatan sepanjang minggu lepas berada pada RM927 juta.
Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Seri Tajuddin Atan
berkata pasaran ekuiti tempatan ketika ini boleh digambarkan sebagai
mengalami persekitaran ‘tambahan’ dengan faktor positif seperti ringgit
dan harga minyak mentah yang menarik pelabur.
“Saya yakin keadaan ini, sehingga tahap tertentu, adalah agak mampan,
dalam erti kata andaian yang mereka saksikan pada tahun sebelum ini
telah berubah dengan ketara,” katanya kepada pemberita di luar acara
‘Ring the Bell’ di sini, hari ini.
Beliau berkata keyakinan itu turut didorong oleh aliran pelaburan, yang membuka penilaian maksimum sekuriti.
Tajuddin berkata Bursa Malaysia juga berada di kedudukan yang baik
untuk menjadi destinasi pelaburan kepada pelabur asing yang mencari
peluang aset di ASEAN.
“Bursa Malaysia mempunyai asas yang kukuh. Jika mereka perlu kembali
semula ke ASEAN untuk mempunyai aset sebagai sebahagian daripada
portfolio mereka, saya berpendapat Bursa Malaysia mempunyai kelebihan,”
katanya.
Acara ‘Ring the Bell’ selama sembilan hari berakhir hari ini disertai
34 bursa saham seluruh dunia untuk menggalakkan kesaksamaan gender.
Ia yang diadakan sempena Hari Wanita Sedunia pada 8 Mac, menekankan
aspek perniagaan untuk mengupayakan ekonomi wanita, serta peluang kepada
sektor swasta untuk ke hadapan dalam kesaksamaan gender dan pembangunan
lestari.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment